Oleh: ANINA SAADUDIN
Dalam setiap strategi peperangan, antara perkara paling penting adalah kita perlu kenal siapa musuh kita sebenar.
Jika tidak tahu kekuatan dan kelemahan musuh, bagaimana kita nak gerakkan bala tentera dan segala melengkapkan senjata dengan berkesan?
Contohnya, bila kita nak tembak musuh di dadanya, kita kena tahu ketinggiannya, jika tidak, peluru kita mungkin terkena kakinya sahaja.
Dalam konteks PRU15, kita perlu kenal dan tahu siapa calon PM9 bagi PAKATAN HARAPAN.
Saudara dan saudari,
Saya optimis penuh percaya Tun Mahathir tidak berminat untuk menjadi Perdana Menteri lagi dan beliau jujur ketika meletakkan jawatan pada 20 Februari 2020.
Apa yang Tun Mahathir tidak setuju adalah apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin membuat keputusan sendiri di luar pengetahuannya.
Jangan lah mentang-mentang kita tidak suka Tun Mahathir, semua perkara tentang nya kita nak cakap buruk belaka seolah-olah langsung tiada perkara baik tentang dirinya.
Rakyat melihat setiap percakapan kita, berlaku adil lah dan in shaa Allah bukan sahaja Allah sayang, malah rakyat juga akan hurmati kita.
Jadi, jika bukan Tun Mahathir, siapakah bakal calon PM9 untuk PH di PRU15?
Dato Seri Anwar Ibrahim telah menjadi calon PM bagi PH berkali-kali tetapi tidak pernah berjaya jatuh kan BN.
Malah Dato Seri Anwar Ibrahim juga telah begitu lama menjadi PM Tepi, tetapi tetap gagal menjadi PM.
Dato Seri Shafei Afdhal pula telah menjadi calon yang lemah apabila gagal mempertahankan kerajaan WARISAN di Sabah.
Jika negeri pun tidak mampu dipertahankan, bagaimana Dato Seri Shafei Afdhal mampu diyakini rakyat untuk menawan Putrajaya?
Dato Seri Mukhriz Mahathir pula, saya percaya bukan sahaja rakyat tak yakin, malah Tun Mahathir sendiri pun tak yakin.
Saya kenal Tun Mahathir kerana beliau lebih yakin dengan anak emasnya berbanding anak kandungnya (Terima kasih ayahanda Tun Mahathir. Dalam hati kecil, saya sentiasa anak Tun. Tun di dalam setiap doa saya walaupun kita bermusuh dalam politik).
Anina Saadudin antara salah seorang pengasas parti Bersatu |
Saudara dan saudari,
Saya tidak pernah takut bercakap benar tentang kasih sayang saya terhadap Tun Mahathir kerana saya manusia yang punya hati dan perasaan.
Politik tidak pernah membunuh kasih sayang sesama manusia walaupun kita berbeza pendapat.
Dalilnya, jika UMNO dan PAS boleh berpelukan tanpa curiga, tiada sebab untuk anda curigai kesetiaan saya kepada UMNO walaupun saya menyayangi Tun Mahathir sebagai bapa dan guru.
Impian saya adalah untuk melihat masa depan rakyat Malaysia yang mampu hidup penuh kasih sayang tanpa ada politik kebencian apatah lagi maki hamun.
Saudara dan saudari,
Ini bukan ucapan ceramah pilihanraya, ada baiknya saya ringkaskan cerita.
Jadi, siapakah calon PM9 bagi PAKATAN HARAPAN di PRU15?
Di dalam tulisan saya, sentiasa saya berikan kiasan-kiasan “berbunga” untuk anda berfikir beberapa langkah ke hadapan berbanding musuh.
Jangan musuh berada di depan mata pun kita tidak nampak.
Saya bertegas mendesak Presiden UMNO berjuang untuk mengembalikan hak kepada yang berhak, yakni calon PM9 mesti lah di kembalikan kepada UMNO sebagai parti yang terbesar.
Perjuangan mengembalikan hak kepada yang berhak itu bukan ego, tetapi itu maruah demi agama, bangsa dan negara.
Allah mewajibkan kita berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara dan di dalam konteks ini, tidak salah jika UMNO mahu mempertahankan maruahnya selepas dikalahkan dengan fitnah di PRU14.
Saudara dan saudari,
Saya juga berpendapat hubungan UMNO dan BERSATU di dalam PERIKATAN NASIONAL itu dirancangkan Allah semata-mata untuk mengajar kita tentang erti maruah bangsa jika kita hanya bertenggek di bunga tak bertangkai.
Bangsa yang bermaruah perlu berdiri seperti pokok yang berakar kukuh di jiwa rakyat.
Saudara dan saudari,
Semua manusia melakukan kesilapan, tak kira siapa pun, mesti akan tersilap pertimbangan apatah lagi ketika berhadapan dengan situasi yang tidak pernah berlaku.
Jadi, saya berpendapat tidak salah juga jika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berlapang dada menerima kembali kerusi-kerusi UMNO yang telah lompat parti sebelum PRU15 berlangsung.
Itu pun sekiranya Ahli-ahli Parlimen lompat ini benar-benar sayang kan ummah dan enggan bersama PH apabila BERSATU mengambil keputusan untuk kembali kepada PH.
Ianya belum berlaku, tetapi saya sedikit sebanyak boleh mengagak percaturan ini kerana jika niat kita berada di dalam politik untuk menjadi Perdana Menteri, maka kita akan mencari peluang di mana kita boleh mencapai objektif tersebut.
Persoalannya, apakah Tun Mahathir akan menerima jambangan bunga dari hati yang kecewa? Kenapa tidak? Jika UMNO boleh berpakat dengan PAS, kenapa BERSATU tidak boleh kembali kepada PH?
Logiknya, jika Tun Mahathir tidak berminat menjadi Perdana Menteri lagi, semua calon lain di dalam PH adalah lemah dan tidak berkemampuan untuk menahan rempuhan MUAFAKAT NASIONAL di PRU15 nanti, kenapa tidak boleh nama kan calon dari BERSATU?
Pengajaran kepada anak-anak muda yang sedang bergiat aktif dalam politik, jika benar sayang kan agama, bangsa dan negara, betul kan niat kerana Allah menilai kita dari niat.
Tidak salah bercita-cita dan berdoa, malah diharuskan, tetapi jangan sampai kita bertikam belakang sesama sendiri.
Saya harap persoalan yang saya lontarkan telah pun anda temui jawapannya dari tulisan ini.
Terima kasih Allah atas hidayahMu kepada pemimpin-pemimpin ummah di dalam MUAFAKAT NASIONAL.
Ayuh bangkit!!! Rapatkan saf, satukan jiwa nurani, kita rempuh musuh dalam laungan Allahuakbar!
Putrajaya milik MUAFAKAT NASIONAL, in shaa Allah.
Salam perjuangan untuk semua!
ANINA SAADUDIN
Presiden Empirical Malaysia