NGO bertanjak minta polis siasat ketulenan surat sokongan UMNO pada Anwar
Badan bukan kerajaan (NGO) Armada Malaiu Malaysia (AMM) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran surat sokongan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kepada Anwar Ibrahim yang di alamatkan ke Istana Negara.
Setiausahanya Nazri Che Arr, berkata laporan polis itu dibuat bagi mendesak siasatan dilakukan demi memelihara nama baik Yang di-Pertuan Agong.
"AMM mendesak polis menyiasat ketulenan surat tersebut dan motif penyebarannya demi memelihara institusi Yang di- Pertuan Agong daripada dipersendakan dan dikelirukan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
"Laporan polis dibuat bagi menuntut pihak polis agar menyiasat ketulenan atau keaslian surat tersebut yang dinafikan oleh pihak Umno dan kesan-kesan kepada umum sekiranya kesahihan surat itu dipertikaikan.
"Ia bagi menjaga dan mempertahankan kedaulatan institusi beraja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong yang menjadi benteng terakhir sistem pemerintah Raja berperlembagaan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu kumpulan NGO yang kesemuanya berpakaian seperti pahlawan Melayu dan bertanjak itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi.
Beberapa hari lalu, tersebar satu surat yang menyatakan sokongan Umno kepada Presiden PKR untuk diangkat sebagai perdana menteri dan parti itu juga turut menarik sokongan mereka pada Perikatan Nasional (PN).
Surat tersebut yang didakwa diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong ditandatangani Ahmad Zahid dan disokong bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan menafikan surat tersebut dikeluarkan parti itu dan menyifatkannya sebagai tindakan berniat jahat. -Malaysiakini