Pilihanraya di Batu Sapi dan Sarawak tak dapat ditangguh kecuali DARURAT
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan kebimbangannya berhubung pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak, yang bakal diadakan akan memburukkan lagi krisis Covid-19 negara.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri Sarawak sudah menetapkan pilihan raya mesti diadakan sekiranya kerusi kosong atau jika DUN dibubarkan.
"Saya sebutkan begini kerana ini bukan perkara main-main. Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.
"Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.
"Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir.
"Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hati lah. Jagalah diri saudara dan saudari semua.
"Patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan," katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.
-MalaysiaKini