Punca kejadian tumpahan minyak di Port Dickson masih misteri
PORT DICKSON – Kejadian tumpahan minyak di pantai Port Dickson yang tular di media sosial masih menjadi misteri.
Maritim Malaysia(APMM) Melaka dan Negeri Sembilan memaklumkan, tiada kapal yang melakukan kerja-kerja pembuangan minyak ke laut susulan insiden tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan lebih kurang 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, tumpahan minyak itu ditemui ketika bot peronda APMM sedang melaksanakan rondaan di perairan Tanjung Tuan, kira-kira pukul 11 pagi semalam.
“Kesan tumpahan minyak turut kelihatan sehingga hingga ke pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang.
“Bagaimanapun, hasil pemantauan dan rondaan pihak kami di sekitar lokasi kejadian, tiada kelihatan kapal sedang melakukan kerja- kerja pembuangan minyak ke laut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, APMM turut memaklumkan insiden berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka dan Negeri Sembilan serta Balai Bomba Telok Kemang yang kemudiannya turut membantu dengan mengambil sampel tumpahan minyak serta melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak.
“Pihak APMM masih belum dapat mengesahkan kapal yang bertanggungjawab kerana dimaklumkan tiada kapal berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan tumpahan minyak dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Sekiranya pihak terbabit didapati bersalah, mereka boleh di sabit kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan berkata, sampel minyak tersebut telah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengetahui punca kejadian.
Beliau berkata kerja pembersihan sedang dilakukan dan menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi pantai berkenaan, sehingga proses itu selesai dilakukan. -K! ONLINE
Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak |