Suspek bunuh bayi buat hal, terpaksa diusung masuk mahkamah
BACHOK: Suasana di perkarangan Mahkamah Majistret Bachok, di sini hari ini, ‘menyaksikan’ seorang lelaki yang dipercayai suspek kes bunuh bayi berumur 8 bulan, terpaksa diangkat beberapa anggota polis apabila lelaki itu enggan memberi kerjasama bagi prosedur perintah tahanan reman terhadapnya.
Lelaki berusia 40 tahun itu, dilihat enggan turun dari kenderaan polis yang membawanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, sejurus tiba di perkarangan mahkamah berkenaan kira-kira pukul 9.20 pagi.
Suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental mahu membaca pelbagai surah Al-Quran atas alasan untuk berdoa sebagai ‘pendinding diri’ dan pihak polis cuba memujuknya kira-kira 10 minit, namun, lelaki itu tidak mengendahkannya.
Tindakannya yang degil itu, memaksa seorang anggota polis menarik suspek keluar dari kenderaan terbabit, kemudian 5 lagi anggota terpaksa mengangkat dan mengusung lelaki itu sehingga masuk ke dalam mahkamah, bagi meneruskan prosedur perintah reman tersebut.
Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor kemudiannya mengarahkan suspek yang juga seorang pekebun, dikenakan perintah reman selama 7 hari bermula hari ini hingga Selasa depan.
Perintah reman tersebut mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam dilaporkan, polis menemui mangsa yang masih bayi bernama Wan Mohamad Afiq Wan Roslan, 8 bulan, dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam dan dimasukkan ke dalam guni.
Mangsa disorokkan di bawah meja di bahagian dapur di sebuah rumah, dipercayai dibunuh bapa kandungnya di Kampung Sungai Dua, Melawi, dekat sini. -FMT