Belanjawan 2021 berjaya diluluskan, Tun Mahathir bersama 12 lagi MP gagal sabotaj
Kuala Lumpur: Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini dengan sokongan majoriti ahli Parlimen.
Belanjawan 2021 yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan sebulat suara manakala 13 orang ahli Parlimen tidak menyokong
13 Ahli Parlimen tidak menyokong Belanjawan 2021 dan mohon untuk undi belah bahagian ialah:
1-Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi),
2-Mukhriz Mahathir (Jerlun),
3-Mahfuz Omar (Pokok Sena),
4-Khalid Samad (Shah Alam),
5-Hanipa Maidin (Sepang),
6-Mat Sabu (Kota Raja)
7-Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar),
8-Hatta Ramli (Lumut),
9-Anuar Tahir (Temerloh),
10-Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor),
11-Hasanuddin Yunus (Hulu Langat),
12-Hasan Bahrom (Tampin) dan
13-Salahuddin Ayub (Pulai)
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada jam 3.28 petang.
Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu dan seramai 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 hingga 19 November.
Menteri berkenaan mula menggulung pada 23 November sebelum Tengku Zafrul menggulung bagi pihak Kementerian Kewangan hari ini kira-kira sejam diikuti dengan pengundian untuk meluluskan Belanjawan itu.
Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.
Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila pelbagai ahli Parlimen bangun untuk mencelah ketika sesi penggulungan dilakukan Tengku Zafrul sehingga memaksa Azhar bersuara.
"Yang Berhormat semua, ini kelakuan yang memalukan, kita sedang berbahas Bajet dan ini perangai kita rakyat nampak," katanya.
Tengku Zafrul kemudian terus melakukan sesi penggulungan selepas keadaan tidak dapat dikawal.
"Saya akan menggulung la Speaker kalau macam ini," katanya.
Dalam sesi penggulungan itu, Tengku Zafrul berkata, selama dua minggu perbahasan RUU Perbekalan 2021 jelas sekali ada beberapa isu yang mendapat perhatian ahli Dewan Rakyat.
"Secara amnya, isu yang berkisar merentasi tiga kategori utama iaitu bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan, bantuan kewangan langsung dan mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.
"Dalam bahasa mudahnya, kerajaan faham rakyat inginkan wang dalam poket untuk hidup, untuk 'survive' dan perbelanjaan keluarga dan anak, membantu dengan hutang dan kos hidup serta peluang kerja supaya mereka dapat menjana pendapatan dan kehidupan yang lebih bermaruah," katanya.
Menurutnya, beliau mengajak ahli Dewan renungkan betapa hari ini semua berada dalam satu persimpangan yang genting dan tersorong seadanya ke pentas sejarah.
"Di atas pentas ini kita sedang disaksikan rakyat Malaysia, juga tertampak pada kacamata dunia di luar sana, pengamat politik dan penganalisa pelaburan yang teliti memerhati apakah keputusan yang akan dibuat ahli Dewan Rakyat Malaysia pada detik ini.
"Saya katakan di sini, daripada hasil tangan kerajaan adalah Belanjawan Negara 2021 yang dirangka dengan penuh berhati-hati dan rapi manakala di tangan ahli Dewan pula diberi satu kunci yang boleh menzahirkan segala manfaat yang termaktub dalam belanjawan ini," katanya.
28 Oktober lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli Parlimen agar mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan. -SabahKini2