"Bravo! Tengku Razaleigh" -Mujahid
𝗗𝗘𝗠𝗢𝗞𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗦𝗨𝗥𝗔𝗧 𝗕𝗘𝗥𝗕𝗜𝗦𝗔 𝗞𝗨 𝗟𝗜 (Mujahid Rawa)
1. Berbisa ada dua makna, satu 'bisa' dengan makna sakit akibat dipatuk atau disengat dan meninggalkan kesan kepada mangsa. Satu lagi 'bisa' dengan makna kehebatan seseorang atau perbuatannya yang boleh memberi kesan terhadap sesuatu atau seseorang. Sinonim berbisa ialah 'menyengat'
2. Ku Li atau YAM Tengku Razaleigh Hamzah adalah MP terkanan dalam Parlimen dari sudut senioriti dan pengalaman. Walaupum tak banyak bercakap tetapi sesekali MP Gua Musang memberi pandangan, ia akan mencuri tumpuan. Suratnya kali ini berbisa, atau dengan kata lain 'menyengat!'
3. Terkini surat beliau kepada Speaker Dewan adalah sebagai menjawab dan menjelaskan sikap beliau kepada jawapan Speaker tentang Usul Undi Tidak Percaya tempoh hari. Ku Li pada bulan Spetember telah menulis surat mendesak diadakan usul undi tidak percaya ke atas TSMY.
4. Rumusan surat ialah mempertikaikan keputusan Speaker yang berhujah atas premis usul RUU kerajaan harus di dahulukan daripada usul persendirian. Kedua mempertahankan kebebasan parlimen apabila Speaker memberi alasan bahawa jika ingin teruskan perlu bertemu dengan Menteri Undang-Undang dan Parlimen untuk berunding. Dan ketiga, Ku Li mempertikaikan keabsahan bajet kerana undi tidak percaya bagi membuktikan PM ada majoriti adalah pra-syarat pembentangan bajet dalam krisis politik yang ada hari ini.
5. Bravo! Saya berasa lega kerana ide pulihkan demokrasi dan sembuhkan negara yang saya bawa dalam kemelut politik negara didokong oleh MP terkanan dari Gua Musang. Penyelesaian masalah berpaksikan demokrasi berparlimen dan perlembagaan bukan main sentimen dan emosi rakyat. Dalam Perkara 43 Perlembagaan Negara jelas menyebut syarat menjadi PM mestilah dibuktikan dengan majoriti di parlimen.
6. Sejajar dengan pandangan dalam surat Ku Li, saya telah menegaskan beberapa kali dalam kenyataan saya bahawa TSMY sukar mendapat sokongan bajet jika beliau gagal buat perkara mudah dan paling asas membuktikan bahawa beliau adalah PM yang ada majoriti. Bagaimana nak lulus atau tidak bajet kerajaan RM322b sedangkan TSMY sendiri gagal membuktikan dirinya layak bergelar PM kepada sebuah kerajaan. Jadi kami nak sokong apa sebenarnya?
7. Pulihkan demokrasi terlebih dahulu, jika tidak TSMY dan konconya akan berterusan memperolokkan demokrasi dengan menggantikan asas demokrasi berperlembagaan kepada sentimen kaum dan agama dan berselindung di sebalik krisis covid. Negara sudah pun luka rentas semua kaum akibat langkah sheraton. Di waktu inilah MP seramai 220 (tolak 2) harus kembali kepada sumpah mempertahankan perlembagaan negara dan bertanya pada dhamir dalam mereka (conscious) tentang perkara yang sepatutnya mereka lakukan.
8. Surat Ku Li tiba pada masanya yang tepat dan harus diteliti secara mendalam oleh semua MP rentas blok demi memelihara demokrasi dari dilanggar oleh PM dan kerajaannya yang tergantung tanpa bukti majoriti.
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH
24hb November 2020