Bunuh Nur Surya, Siti Nur Athirah kini berdepan hukum gantung
MARANG – Seorang pelajar Tingkatan Enam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sendiri.
Tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 19, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun.
Perbuatan itu dilakukan pada 1 November lalu di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong antara jam 8.30 pagi dan 9.30 pagi.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mahkamah menetapkan 10 Januari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang, lapor Awani.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazlan Md Zain.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bertudung hitam tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9.40 pagi.
Beberapa ahli keluarga tertuduh, termasuk ayah dan ibunya, turut berada di perkarangan mahkamah berkenaan.
Pada 1 November lalu Siti Nur Surya ditemui mati, dipercayai dibunuh, dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Mangsa dibunuh kejam dengan kesan tikaman dipercayai akibat senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja perempuan pada keesokan harinya selepas dia tampil ke balai dengan ditemani ibunya kononnya untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, hasil keterangan diberinya didapati mencurigakan lalu dia ditangkap untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette