PETALING JAYA: DAP menggesa parti lain tidak bertanding melawan Umno di Gerik selepas penyandang kerusi Parlimen itu meninggal semalam.
Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata keselamatan awam perlu jadi keutamaan di saat negara menghadapi gelombang ketiga jangkitan Covid-19.
“Pemergian Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.
“Seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasbullah meninggal dunia semalam di usia 63 tahun.
Dalam pada itu, Lim berkata tiada pertandingan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik juga bagi memberi pengiktirafan khidmat Hasbullah.
“DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hasbullah Osman, yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.
“Walaupun berada di sebelah pihak berlawanan, Hasbullah berkhidmat lebih daripada 2 penggal sebagai ahli Parlimen dan kepada rakyat di kawasannya,” katanya.
Lim berkata keselamatan awam harus didahulukan berbanding politik dan pilihan raya.
Katanya, orang ramai tidak dapat melupakan lonjakan jangkitan Covid-19 setelah Sabah terpaksa mengadakan pilihan raya umum.
“Seharusnya kita perlu berhenti bermain politik pilihan raya sehingga bahaya dan risiko yang ditimbulkan oleh Covid-19 berakhir,” katanya. -FMT