Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Keadaan asrama pekerja Top Glove amat teruk -Menteri

gambar: MalaysiaKini

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menyifatkan keadaan asrama pekerja yang disediakan syarikat sarung tengan Top Glove adalah teruk.

Saravanan berikrar untuk mengambil tindakan tegas dan “semuanya” bakal diselesaikan dalam masa seminggu.

“Saya sudah ke asrama dan keadaan amat teruk. Pegawai saya diarah untuk bertindak secara sepenuhnya (full force) kerana ini perkara besar, (melibatkan) koloni pekerja warga asing yang mudah terjejas.


“Jika kita tidak bertindak, kluster ini mungkin jadi tidak terkawal.

“Jabatan Tenaga Kerja akan memastikan majikan bertanggungjawab atas keadaan tempat tinggal pekerjanya dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang,” katanya seperti dipetik The Star.

Portal tersebut melaporkan bahawa Saravanan turut berkongsi beberapa gambar dan video asrama yang nampak sesak dan tidak bersih.

Dia juga ke kediaman pekerja tersebut beberapa hari lalu bersama pihak Jabatan Tenaga Kerja.


Asrama pekerja dan kilang tersebut di Meru, Selangor merupakan punca kluster Teratai yang pada semalam saja mencatatkan 1,511 kes positif.

Setakat ini, terdapat 4,036 kes positif dalam kluster itu.

Terdahulu, Saravanan telah mengunjungi tempat tinggal pekerja Top Glove pada Ogos lalu.

Pada bulan sebelumnya, dia menyatakan ada beberapa kelemahan berhubung tempat tinggal mereka yang boleh ditambah baik.



Ia susulan arahan sekatan import yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) terhadap Top Glove, antaranya atas asas keadaan tempat tinggal pekerja.

Top Glove kemudian menyatakan komitmen akan menangani perkara itu.

Susulan peningkatan kes positif secara mendadak dalam kluster Teratai, syarikat itu juga bersetuju untuk menutup 16 kilangnya - atas arahan pihak berkuasa - dan membendung wabak tersebut. -MalaysiaKini