Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes di Semenanjung membimbangkan, PKPB mungkin disambung bagi lindungi zon Hijau



PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes Covid-19 di Sabah dan Labuan dilihat semakin stabil.

Bagaimanapun beliau bimbang dengan peningkatan kes wabak itu di Semenanjung Malaysia terutama sekali di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Di Sabah kita melihat kes dalam 4 hari terakhir lebih stabil berbanding minggu sebelumnya. Di Labuan juga stabil.

“Kebimbangan kita ialah di Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Kes semakin bertambah dan kini lebih daripada Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.


Noor Hisham berkata, oleh sebab itu Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes aktif Covid-19 di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Katanya, pelaksanaan PKPB di beberapa negeri juga bertujuan mengawal penularan wabak itu dengan menghalang pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah.

“Kita akan lihat 2 minggu lagi sama ada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan disambung atau ditamatkan.



“Penting bagi kita untuk melindungi zon hijau,” katanya.

Sabah mencatatkan jangkitan kes terbaru sebanyak 318 kes hari ini diikuti oleh Negeri Sembilan (240).

Jangkitan baru yang dilaporkan di Selangor adalah sebanyak 174 kes, Pulau Pinang (63), Kuala Lumpur (47), Labuan (35), Sarawak (8), Perak (9), Johor (8), Melaka (8), Kedah (3), Kelantan (2) dan Putrajaya (1).