Exco Melaka Norhizam Hassan Baktee memaklumkan negeri itu akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk penghapusan babi hutan.
Ini, katanya susulan aduan tinggi daripada orang ramai membabitkan hidupan liar tersebut.
Dia berkata bagi menjayakan operasi itu, pihaknya memerlukan peruntukan kira-kira RM941,000 termasuk membeli 100 unit perangkap babi hutan, peluru, peralatan pengurusan, umpan penangkap selain perangkap kera dan perangkap ular yang menelan kos dari RM600 hingga RM1,800 seunit.
“Kita akan mempromosikan kempen menghapuskan hidupan liar tersebut dan operasi bersepadu ini juga akan mendapat kelulusan pihak polis,” katanya lapor Utusan Malaysia.
“Kita akan memohon kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk membantu dari segi kos operasi bagi merealisasikan jawatankuasa khas ini,” katanya.
Untuk rekod, babi hutan merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi kerana diancam kepupusan.
Norhizam berkata operasi besar-besaran itu akan turut disertai oleh agensi berkaitan seperti Persatuan Penembak Negeri Melaka, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi operasi besar-besaran.
“Setakat ini, sebanyak 1,016 ekor babi ditangkap dalam Operasi Hapus Babi Hutan (Ops Siong) dan daripada jumlah itu Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 484 ekor diikuti Jasin (341) dan Alor Gajah (191).
“Contohnya di Sungai Rambai, kita terima banyak aduan daripada peladang dan pekebun yang menanam pisang, walaupun operasi ini tidak dapat diselesaikan secara total namun dapat kurangkan nisbah populasinya,” katanya. -MalaysiaKini