Pejuang tolak Belanjawan 2021 sekiranya gaji Menteri tidak dipotong -Mukhriz
KUALA LUMPUR: Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) hari ini berkata, kumpulannya akan menolak Belanjawan 2021 kecuali kerajaan membuat 12 pindaan.
Beliau yang kecewa dengan cadangan belanjawan itu, berkata ia tidak akan membantu rakyat “paling terjejas”.
Antara pindaan itu, katanya, adalah pengurangan gaji semua menteri dan timbalan menteri sehingga pandemik Covid-19 berakhir dan penangguhan semua projek menaik taraf premis kementerian, yang akan menelan belanja RM736.6 juta.
“Saya bersama rakan-rakan yang lain tekad menolak Belanjawan 2021 sekiranya tiada pindaan dibuat,” katanya semasa membahas belanjawan di Dewan Rakyat.
Mukhriz berkata, belanjawan itu dengan peruntukan terbesar setakat ini, tidak menonjolkan sifat empati terhadap rakyat, terutamanya yang paling teruk terjejas akibat pandemik.
“Ia dikatakan belanjawan yang dirangka bagi menangani situasi sangat luar biasa. Namun, apa yang telah dibentang nampak ‘more of the same and business as usual’.”
Beliau turut mempersoalkan keperluan meningkatkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri.
“Apa perlunya peruntukan dinaikkan daripada RM7.9 bilion kepada RM11.7 bilion? Kalaupun untuk menampung perbelanjaan tambahan menteri tugas-tugas khas atau menteri tanpa portfolio, adakah sampai memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM4 bilion?” soalnya. -FMT