Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

TEKS Ucapan penuh Perbahasan Belanjawan 2021 Tun Dr Mahathir


Ucapan penuh YB Langkawi di Parlimen 
PERBAHASAN BELANJAWAN 2021

1. Izinkan saya nyatakan kekaguman saya dengan jumlah Belanjawan 2021.

2. Bertuah sungguhlah rakyat Malaysia kerana selama 2 ½ jam Menteri Kewangan mencerita berkenaan duit yang banyak yang akan dicurah kepada mereka.

3. Tetapi saya tertanya-tanya dari mana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini memperolehi 322.5 billion Ringgit untuk biayai belanjawan gergasi ini.

4. Biasanya di penghujung ucapan belanjawan akan disebut cukai yang akan diperkenal untuk membiayai sebahagian dari kos belanjawan.

5. Tetapi kali ini tidak ada cukai baru yang akan dipikul oleh rakyat. Dalam masa wabak COVID-19 ekonomi sudah merosot teruk. Tentulah pendapatan Kerajaan juga merosot. Belanjawan ini tentulah alami defisit. Tetapi Kerajaan seolah tidak ambil berat defisit ini.


6. Tak cukup duit, terpaksalah Kerajaan hutang. Jumlah hutang Kerajaan akan meningkat kepada 1.3 trillion Ringgit. Jikalau kita hutang untuk bayar hutang, ia tidak akan mengurang jumlah hutang.

7. Sebenarnya kita tidak perlu belanjawan yang sebegini besar, melainkan jika ia untuk atasi masalah sosial, ekonomi dan membanteras perkembangan wabak COVID-19. Tentu ada perbelanjaan yang boleh ditangguh sementara kita belanja untuk lawan COVID-19, dan kemerosotan ekonomi. Umpamanya Kabinet terlalu besar. Ramai yang dilantik jadi Menteri, Timbalan Menteri, bertaraf Menteri tetapi mereka tidak dapat bekerja pun kerana wabak. Kita boleh kurangkan jumlah mereka tanpa jejaskan perjalanan pemerintahan.

8. Peruntukan untuk pelbagai jabatan ada yang dinaikkan sehingga 520%. Pembangunan pejabat boleh ditangguh 160 juta, untuk Bangunan Pejabat Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI), 64.4 juta di seberang laut. 231 juta Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan banyak lagi.

9. Peruntukan Jabatan Perdana Menteri dinaikkan dari RM7.9 billion pada 2020 kepada RM11.7 billion, RM 1 billion dari RM100 million untuk Projek Khas.


10. Apa perlunya membelanja RM 125 juta bagi Kompleks Angkasapuri. Kita perlu tangguh projek ini.

11. Ingatlah, kita perlu bayar hutang sebanyak RM39 billion, hutang yang diambil oleh 
Kerajaan kleptokrat dahulu. Kebanyakan hutang ini sudah hilang sama sekali kerana 
tidak dilabur.

12. Ya, saya akui kita telah tangani serangan COVID-19 dengan baik. Tahniah. Tetapi ada 
negara yang lebih berjaya dari kita. Ada teknologi baru yang telah diperkenal. Kita perlu belajar dari mereka yang berjaya. Kita juga perlu kaji teknologi baru yang mungkin boleh 
kurangkan jangkitan penyakit ini dan dengan itu memperbaiki ekonomi kita.

13. Memperuntukkan RM3 billion (tidak sampai 1 peratus jumlah budget) tidak mencerminkan pandangan serius Kerajaan terhadap pandemik ini. Saya akan cadang beberapa tindakan melawan kesan pandemik ini yang akan memerlu lebih banyak peruntukan.

14. Pada permulaan kita memerlukan dua minggu untuk tentukan samada seseorang sudah dijangkiti penyakit virus ini. Sekarang kita boleh tentukan samada positif atau tidak dalam masa 1½ jam. Ada juga jenis test yang boleh tentukan positif atau tidak dengan serta-
merta.


15. Dengan sistem ini kita boleh tentukan seseorang itu bebas atau tidak dari jangkitan. 
Kuarantin tidak perlu diadakan.

16. Dengan menentukan seseorang itu bebas dari jangkitan, ia boleh dibenar bekerja dan membuat lawatan ke kawasan hijau. Ditempat lawatan sekali lagi test boleh diadakan untuk menentu pelawat bebas dari jangkitan.

17. Kita tahu industri pelancongan penting dalam ekonomi kita. Apabila orang yang sihat 
dikena kuarantin, termasuk semasa lockdown, daya keluar, produktivitinya tidak dapat menyumbang kepada ekonomi. Ekonomi negara akan merosot. Sesungguhnya lebih ramai orang yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti.

18. Apabila lockdown diadakan lebih ramai mereka yang sihat menjadi tidak produktif.

19. Sebaliknya jika kita dapat tentukan melalui test bahawa ia tidak dijangkiti, ia boleh ikuti
kehendak SOP tetapi dapat melancong atau bekerja. Ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi.


20. Memang kos pemeriksaan mahal. Kerajaan perlu bantu kos. Tetapi dengan ekonomi menjadi lebih maju, Kerajaan akan dapat pulangan sekurang-kurangnya separuh daripada sumbangan mereka yang sihat bekerja.

21. Harus kita ingat bahawa kesan dari COVID-19 ini bukan sahaja terhadap kesihatan tetapi amat teruk kepada ekonomi. Lockdown memang satu cara membendung COVID-19 
yang berkesan, tetapi ia menjejas ekonomi kita dengan teruk. Lebih lama lockdown lebih 
teruk lagi kemerosotan ekonomi.

22. Lockdown menekan rakyat yang miskin sehingga ada yang kehilangan pendapatan 
sama sekali. Mereka tidak pun dapat makan. Sebaliknya ramai orang yang bergaji terus mendapat gaji penuh. Biasanya gaji kebanyakan dari mereka lebih tinggi dari 
menampung keperluan hidup. Dan Kerajaan akan tambah RM500 sekaligus kepada 
mereka.

23. Apa perlunya Kerajaan menambah pendapatan mereka apabila gaji mereka lebih dari mencukupi membiayai keperluan hidup mereka. Sepatutnya bantuan diberi kepada 
pekerja yang hilang pekerjaan, dan hilang pendapatan sama sekali. Mereka tidak pun dapat membiayai makan harian.


24. Ada cadangan supaya gaji Menteri dikurang 30%. Dalam zaman COVID-19, saya tak fikir Menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30%. Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi. Dan 
bagi mereka keluarga akan turut menderita. Mungkin tidak 30%. Mungkin hanya 10%.

25. Kita sedar COVID-19 mudah merebak jika pesakit berdekatan dengan kita. Apakah untuk 
melindung dari jangkitan dari beberapa pesakit kita kurung penduduk satu negeri. Mungkin sukar dikawal tetapi lockdown harus terhad pada kluster dan sekelilingnya sahaja. Di luar, mereka yang didapati sihat setelah diuji, tidak perlu dikurung dengan MCO.

26. Ya. Memang ada kemungkinan yang sihat dijangkiti semasa berjauhan dari kluster, semasa bekerja atau melancong. Tetapi jika dapat diadakan test lebih kerap, dengan dapat menentu keadaan kesihatan dengan lebih cepat, kita dapat asingkan mereka yang positif sebelum mereka dapat berdekatan dengan yang sihat. Dengan cara ini kita kurangkan jumlah yang sihat yang tidak dapat bekerja. Sudah tentu ditempat bekerja dan di mana-mana sahaja kita amalkan SOP sepenuhnya.


27. Memang ada bahayanya jika diamalkan cadangan ini. Tetapi mencuba mengurangkan 
kemerosotan ekonomi juga penting. Ingatlah pada mula kita diserang kita kenakan MCO 
seluruh negara. Tetapi sekarang kita kenakan MCO dikawasan tertentu sahaja.

28. Apabila ekonomi kita tidak berjalan bukan sahaja pekerja yang menganggur tetapi Kerajaan juga akan hilang pendapatan. Memulih ekonomi amatlah penting dalam usaha Kerajaan mengurangkan kesan buruk dari wabak pandemik.

29. Saya ingin kembali kepada belanjawan gergasi yang dicadang oleh Kerajaan. Walaupun jumlahnya amat besar tetapi ia tidak dapat atasi masalah yang dihadapi oleh rakyat di pelbagai peringkat.

30. Dilaporkan bahawa lebih dari 32,000 perniagaan terpaksa gulung tikar. Sebabnya ialah kerana mereka kehilangan pelanggan. Perniagaan mereka merosot sehingga tidak dapat bayar hutang. Apabila perniagaan gulung tikar, ramailah kakitangan yang akan hilang 
punca pendapatan mereka.


31. Ada di antara mereka yang ditimpa pelbagai tekanan termasuk kebuluran. Keluarga mereka juga akan menjadi mangsa kehilangan kerja kerana majikan gulung tikar.

32. Yang menganggur terpaksa buat apa sahaja kerja yang mungkin. Ada yang terlibat 
dalam gig-ekonomi, memandu motorsikal sebagai delivery boy, dan lain-lain kerja. 

33. Yang kita perlu akui ialah cara bekerja dan mencari makan sudah berubah. Kerajaan perlu kaji cara-cara hidup yang berlainan ini. Saya percaya jika kita kaji halangan disebabkan COVID-19 dan kita juga mendalami teknologi berkomunikasi yang lebih mudah ini, kita akan dapat cara dan peluang baru untuk menangani masalah kita. Sistem zoom umpamanya memboleh berunding dari jarak jauh, seolah-olah sudah bertemu. Banyaklah urusan yang boleh guna telekonferens ini.

34. Kita sudah terima dan faham akan kegunaan online marketing, iaitu bagaimana kita boleh pasarkan barangan kita, membeli dan membekal segala keperluan kita tanpa ke 
kedai atau pasar. Segala yang kita jual atau beli dilakukan melalui telefon sahaja.

35. Untuk ini kemudahan menghantar diperlukan. Ini memberi peluang pekerjaan hantar menghantar kepada pemilik motorsikal dan kereta.


36. Online trading sebenarnya boleh meningkat jual beli dengan lebih besar. Kita tidak perlu 
bertemu pembekal atau pembeli. Melalui iklan yang mempamer jenis barangan dan fungsinya dalam komputer atau telefon bimbit, pasaran dunia menjadi lebih terbuka walaupun kepada pengusaha kampung.

37. Terdapat banyak cerita berkenaan online marketing yang menaikkan jumlah jualan 
berkali ganda. Sebenarnya cara online ini boleh menyumbang dengan tingginya jual beli di pasaran dunia. Dagangan antarabangsa juga boleh ditingkatkan.

38. Industri penghantaran tetap akan lebih maju kerana peningkatan bisnes jual beli melalui online marketing. Bagi bisnes kecil-kecilan ada Foodpanda, Grab dan lain-lain. Jika industri ini dibenar tanpa terlalu banyak lesen dan aturan-peraturan, ia boleh 
menggantikan sistem lama yang memerlukan rundingan dan perjumpaan antara pembeli dan pembekal. Melalui zoom kita boleh adakan rundingan tanpa keluar dari rumah pun.

39. Satu dari halangan terhadap kekurangan bisnes ialah keperluan mendapat berbagai jenis kebenaran. Pelaburan dari dalam dan luar negara terpaksa tunggu sehingga lebih dari satu tahun sebelum mendapat kelulusan. Dengan itu pertambahan jumlah pelaburan 
untuk menjana peluang pekerjaan dan pendapatan bagi mereka yang hilang punca 
pendapatan akan tercapai. Sebenarnya anggaran pertumbuhan 7 ½ peratus tidak akan tercapai. Jumlah pelaburan juga terlalu optimistik.


40. Ya. Kita memang berhasrat kurangkan penyelewengan apabila memberi kebenaran 
untuk bisnes. Memang ada kemungkinan rasuah berlaku. Tetapi dengan kita kurangkan 
kegunaan wang tunai, dan mempercepatkan kelulusan serta mencatit segala transaksi
dalam buku bank rasuah boleh dikurangkan.

41. Dengan mempercepatkan proses kelulusan kebenaran pengeluaran maka pemulihan ekonomi akan jadi lebih cepat. Jika tidak pelaburan yang dirancang akan tercapai pada 
2022.

42. Saya sebut perkara ini kerana pengalaman saya apabila saya tidak lagi berkuasa. Ada kes yang mengambil masa sehingga lapan tahun sebelum mendapat kelulusan. 

43. Kata ahli perniagaan “Time means money”. Sekarang pihak yang diberi kuasa melulus yang terdiri dari pegawai terpaksa rujuk kepada orang atasan. Adakalanya apabila dirujuk kepada orang atasan, mereka disuruh rujuk kepada pegawai pula.

44. Jika belanjawan 2021 ini nak dilaksanakan maka proses kelulusan hendaklah dipendekkan. Banyaklah wang swasta dan Kerajaan yang boleh diselamatkan jika kelulusan dipermudahkan. Unsur politik tidak harus menganggu proses pentadbiran. Penglibatan orang politik dalam urusan executive hendaklah dihentikan. Jika executive diberi kuasa, janganlah mengganggu mereka kerana politik.


45. Saya tidak bersetuju dengan mengurang ahli dewan kepada 80 orang sahaja semasa 
bersidang. Sebenarnya banyak sudah perubahan fizikal dibuat untuk memastikan 
jangkitan tidak berlaku semasa ahli berada dalam dewan. Lagi pun ahli diuji sebelum masuk dewan atau dikuarantin terlebih dahulu.

46. Tujuan mengurangkan kepada 80 orang ahli ialah supaya mereka tidak duduk berdekatan semasa dalam dewan. Tetapi mereka duduk di tempat biasa seperti 222 
orang hadir. 

47. Kita lihat barisan menteri-menteri tidak sedikitpun berubah samada 222 hadir atau 80 
hadir. Jika virus boleh lompat ke kiri dan kanan dan menjangkiti jiran semasa 222 hadir, semasa 80 ahli berada dalam dewan pun virus boleh lompat kerana jarak antara ahli masih sama.

48. Apa perlunya mengurangkan kehadiran kepada 80 jika jarak antara ahli sama seperti 
222. Sebaliknya diwaktu belah-bahagi 222 ahli boleh masuk dewan. 

49. Yang penting dalam SOP untuk elak dari jangkitan ialah jarak antara individu. Jarak yang dianggap selamat ialah 1 meter. Tetapi dalam dewan ada skrin plastik yang melindung kita dari orang sebelah. 



50. Cara ini memang baik. Bagi frontliners, skrin plastik dipakai yang melindung seluruh 
muka yang sudahpun ditutup dengan mask. Di dalam dewan pun diadakan skrin plastik ini. Walaupun jarak antara kita kurang dari 1 meter, dengan adanya skrin plastik, kita lebih terselamat dari jangkitan. 

51. Kita berterima kasih kerana niat untuk selamatkan ahli yang berhormat, tetapi janganlah sehingga kita tidak dapat menjalankan tugas kita.

52. Kita semua ingin luluskan budget ini. Jika ianya tidak lulus, pada lazimnya Perdana Menteri perlu letak jawatan. Akan jadi pula satu krisis politik. Kerajaan pintu belakang ini akan diganti dengan Kerajaan tebuk atap, yang juga tidak stabil. 

53. Kita telah ada pilihan raya yang menentukan Kerajaan pilihan rakyat didirikan. Setelah dipilih Kerajaan ini dijatuhkan dan Kerajaan oleh puak yang ditolak oleh rakyat mendiri Kerajaan. Ini sebenarnya adalah satu penipuan walaupun tidak ada undang-undang 
yang melarang perbuatan ini. Ia menidakkan demokrasi.



54. Malangnya Kerajaan pintu belakang ini amat lemah dan menghabiskan masa untuk 
pertahan kedudukannya.

55. Negara diserang oleh wabak COVID-19 yang mengancam pemerintahan. Tumpuan 
kepada mempertahan kedudukan yang lemah, menjejas tumpuan kepada menangani masalah wabak. Hasilnya ialah pembaziran masa dan wang untuk merebut kuasa. Kita 
lihat pembaziran ini di Sabah.

56. Jika dahulu kita sudah berjaya kurangkan wabak, sekarang kita dihadapi dengan second
dan third wave dengan jangkitan lebih seribu sehari. Ramai yang maut yang sepatutnya 
berada sekarang.

57. Masih ada yang ingin mengadakan PRU supaya dapat rebut kuasa. Ingatlah berapa 
ramai pula yang akan mati kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ingin jatuh Kerajaan 
Sabah.



58. Ya. Rebutan di Sabah berjaya. Tetapi kosnya amat tinggi. Banyak nyawa terkorban 
kerana ketamakan kuasa. 

59. Dari rekod yang kita telah lihat hari ini, saya tidak percaya PN akan dapat menangani wabak COVID-19 ini. 

60. Dalam krisis, yang kita hadapi sekarang “Cash bukan lagi King”. Walaupun pakar budaya ini memberi nasihat kepada Kerajaan, ingatlah apa sudah jadi kepada penasihat ini. 

61. Tetapi amat pelik perbicaraan di mahkamah dihentikan tetapi banduan boleh berucap di 
dewan Parlimen. Jika boleh di Parlimen, tentulah boleh juga di Mahkamah. Kurangkanlah pemerhati dan media, dan amalkan perpisahan sejauh 1 meter antara mereka yang perlu berada semasa perbicaraan. Jika nak nanti COVID-19, bertahun lagi diperlukan.



62. Yang lebih utama pada rakyat ialah mereka terdedah kepada kebuluran. Bagi mereka yang tidak pernah mengalami kebuluran, tekanan sudah sampai ke tahap menekan jiwa. Sudah ada yang membunuh diri kerana terputus kehidupan biasa. Ada ramai yang mengalami tekanan jiwa apabila digugur dari pekerjaan. 

63. Sesungguhnya kes-kes seperti ini perlu ditangani secepat mungkin. Usaha perlu dilakukan. Rancangan untuk membantu mereka perlu menyeluruh. Di sinilah tempatnya untuk Kerajaan curahkan wang.

64. Saya sedar budget 2021 ini ada peruntukan untuk membantu mereka yang terputus harapan. Tetapi bantuan yang dicadang tidaklah mencukupi dan tidak menyeluruh.

65. Perbelanjaan untuk pembangunan boleh dikurangkan atau ditangguh supaya dana yang diselamatkan boleh diguna untuk mengurangkan tekanan jiwa.

66. Saya mendengar beberapa ucapan menteri Kerajaan yang menyebut tentang Dasar yang diperkenal oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Dasar ini jika dilaksana sekarang boleh 
membantu negara mengatasi sebahagian dari kesan wabak COVID-19.



67. Perancangan yang saya maksudkan ialah Dasar Kemakmuran Bersama. Sebenarnya 
Pakatan Harapan sudah bermula melaksana dasar ini. Tetapi Kerajaan Pakatan Harapan telah dijatuhkan dan perancangan penting ini tidak dapat dilaksanakan.

68. Di antara yang terpenting ialah mengurang jarak kekayaan ekonomi antara bandar dan luar bandar. Kemiskinan di luar bandar yang menjadi lebih buruk kerana COVID-19 boleh 
dikurangkan jika dasar pertanian luar bandar dipinda. 

69. Pertanian luar bandar sehingga kini tidak memberi pulangan yang baik kepada penduduk kampung kerana biasanya mereka menghad tanaman mereka kepada satu jenis tanaman sahaja. Apabila pasaran untuk tanaman mereka jatuh, mereka menderita. 

70. Dasar yang perlu diperkenal ialah pertanian campuran atau dengan izin mix farming. Jenis tanaman hendaklah meliputi bukan sahaja kelapa sawit, getah dan padi. Sebahagian kawasan hendaklah ditanam dengan sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan ikan.



71. Dengan cara ini kejatuhan harga satu jenis boleh dikurangkan kesan dengan kelarisan 
pemasaran jenis lain. 

72. Lagi pun pertanian moden boleh menghasilkan pulangan dalam jangka masa yang pendek. Vertical farming boleh mengatasi kawasan tanah yang tidak cukup luas. 

73. Sudah ada pengusaha di Malaysia yang mengeluar sistem dan alatan baru yang boleh 
menghasilkan pengeluaran sayur dan juga ikan dengan kos yang rendah. Jika pinjaman 
disediakan seluruh kawasan pertanian di Malaysia boleh menghasil makanan yang amat diperlukan pada masa ini. Sekaligus kita dapat kurangkan kemiskinan di luar bandar dan 
mengatasi kebuluran dalam bandar. 

74. Janganlah dasar kemakmuran bersama ini ditolak disebabkan ia adalah dari parti lawan. 
Kerajaan yang ditubuh bukanlah untuk orang parti-parti Kerajaan sahaja. Kerajaan kerap 
berkata ia adalah Kerajaan bagi semua rakyat. Oleh itu janganlah tolak cadangan parti lawan yang baik bagi semua rakyat kerana mengutamakan politik parti. 



75. Walaupun kita tidak perlu ketepikan Perlembagaan Negara, undang-undang dan aturan peraturan dengan mengisytihar darurat, tetapi dengan kuasa yang ada sekarang, kita 
masih boleh lakukan banyak tindakan untuk membendung COVID-19 dan memulih ekonomi negara. 

76. Saya ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam 
perbahasan mengenai Belanjawan 2021 yang dibentang oleh Menteri Kewangan. 

77. Saya reserve diri saya dan parti saya untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 
Kerajaan Perikatan Nasional ini. Saya harap cadangan yang bernas oleh dewan ini diberi 
tempat dalam Belanjawan 2021.

Terima Kasih.
Yb Tun Dr Mahathir Mohamad
Ahli Parlimen Langkawi