Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia kini melepasi angka 100,000
Kes harian jangkitan Covid-19 di negara ini masih kekal empat angka dengan 1,581 kes direkodkan setakat tengah hari tadi.
Hari ini juga menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 melepasi angka 100,000 dengan 100,318 kes dilaporkan sejak wabak itu melanda negara.
Selangor terus mendahului dengan 491 kes terbaru diikuti Kuala Lumpur (379), Sabah (249) dan Negeri Sembilan (144) serta negeri-negeri lain.
Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah 18,773 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan dua lagi kematian terbaru, menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 446 kes.
"Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 1,085 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 81,099 pesakit pulih daripada wabak berkenaan.
Sebanyak 270 kes (17.1 peratus) yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tembok Gajah (74 kes), Kluster GK Tawau (6 kes), Kluster Tembok (4 kes), dan Kluster Bakti (1 kes).
Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 468 kluster dilaporkan termasuk empat kluster baru pada hari ini.
Empat kluster baru tersebut adalah kluster Kebun Baru (Kuala Langat), kluster Sungai Burong (Kuala Selangor), kluster Tapak Bina Jalan Tun (Lembah Pantai, Kuala Lumpur) dan kluster Jalan Pandan (Kuala Lumpur dan Selangor).
Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 262 termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Kasir, kluster Tomher MC, kluster Utama, kluster Rengas, kluster Mampulut dan kluster Haven.
Berikut adalah bilangan kes jangkitan terbaru mengikut negeri:
Selangor: 491 kes
Kuala Lumpur: 379 kes
Sabah: 249 kes
Negeri Sembilan: 144 kes
Johor: 115 kes
Melaka: 76 kes
Pulau Pinang: 37 kes
Perak: 26 kes
Labuan: 26 kes
Pahang: 12 kes
Kelantan: 9 kes
Terengganu: 7 kes
Kedah: 4 kes
Putrajaya: 4 kes
Sarawak: 2 kes