Kini boleh mohon lesen dan daftar perniagaan secara online di MalaysiaBiz
PUTRAJAYA - Kerajaan memperkenalkan portal MalaysiaBiz sebagai pusat sehenti bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen dalam talian secara efisien.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, enam badan pendaftar perniagaan serta 11 Pihak Berkuasa Melesen (PBM) menjadi rakan strategik portal tersebut.
"Menyedari pentingnya platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara, Portal MalaysiaBiz telah dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran portal itu secara maya di laman Facebook MAMPU sebentar tadi.
Menurutnya, MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
"Saya yakin objektif portal ini akan dapat tercapai dan sekali gus mendukung agenda kerajaan digital. insyaALLAH," katanya.
Beliau berkata, usahawan kecil dan sederhana sekalian perlu memanfaatkan peluang tersebut dengan memohon lesen perniagaan masing-masing melalui Portal MalaysiaBiz.
"Marilah kita sama-sama menjayakan inisiatif ini dan semoga segala urusan saudara dan saudari dapat dipermudahkan," katanya.
Portal yang dibangunkan oleh (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Corp boleh dicapai menerusi laman web https://malaysiabiz.gov.my/ms
Terdahulu dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.
"Ini termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang merupakan salah satu daripada teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.
Menurutnya, proses digitalisasi akan terus dipergiat dan tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19.
"Sebagai contoh, kerajaan mensasarkan sebanyak 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan End-to-end (E2E) sepenuhnya menjelang akhir tahun 2020 berbanding 20.2 peratus pada tahun 2019," katanya.
Tambahnya, sasaran tersebut diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan sendiri olehnya bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara ini. -Sinar