Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PEJUANG heret Ketua Pengarah Pertubuhan Pendaftar ROS ke mahkamah


Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memohon semakan kehakiman untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu.

Semakan itu untuk memohon perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meluluskan atau sebaliknya pendaftaran parti berkenaan secara rasmi sebagai parti politik di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Ia juga bertujuan mendapatkan deklarasi daripada mahkamah bahawa kegagalan Ketua Pengarah dan ROS untuk menjawab sebarang permohonan atau komunikasi bertulis adalah tidak munasabah dan mempunyai niat mala fide untuk melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang.


“Pejuang akan sentiasa mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan justeru itu membawa isu kelengahan pendaftarannya ke mahkamah bertujuan mendapat penghakiman seadilnya.

"Jawatankuasa penaja Pejuang akan dari semasa kes semasa akan memaklumkan perkembangan kes kepada warga umum," kata setiausaha agung jawatankuasa itu Amiruddin Hamzah dalam satu kenyataan hari ini.

Amiruddin dinamakan sebagai plaintif bagi pihak Pejuang, sementara ROS dan ketua pengarahnya adalah responden bagi tuntutan tersebut.

Semakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Kuasa Khas dan Rayuan) petang ini melalui firma guaman Haidir & Co di Shah Alam.


Firma itu juga memohon perakuan segera daripada mahkamah untuk mempercepat kes tersebut.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi antara lain berkata, keadaan politik negara yang tidak begitu stabil memungkin pilihan raya umum ke-15 diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, ramai orang awam berminat untuk menyertai Pejuang sebagai ahli dan menggunakan logo serta insignia parti itu tanpa kebenaran.

"Jika pendaftaran Parti Pejuang Tanahair tidak disegerakan ia akan menyebabkan ketidakmampuan pihak jawatankuasa penaja pertubuhan Pejuang mengawal tindakan orang awam yang berminat sebagai ahli dengan tular menggunakan lambang dan/atau logo dan/atau insignia Pejuang yang kian menular di media sosial," katanya.


Sementara itu, dalam afidavit 13 halamannya, Amiruddin berkata dia telah menyerahkan borang pendaftaran lengkap untuk pendaftaran Pejuang pada 19 Ogos.

Ini dilakukan secara dalam talian dan semasa temujanji dengan ketua pengarah ROS pada hari yang sama.

Amiruddin berkata dia telah menyerahkan pindaan terkini perlembagaan Pejuang pada 2 Oktober tetapi tiada maklum balas diberikan.

"Saya menyatakan bahawa pihak responden pertama dan/atau kedua langsung tidak memberikan sebarang maklum balas bertulis lanjut sekalipun telah dihubungi oleh saya melaui surat menyurat.


"Sebaliknya pihak jawatankuasa penaja Penubuhan Pejuang yang terpaksa membuat inisiatif untuk mengadakan perjumpaan bagi mendapatkan maklum balas semasa," katanya.

Pada 23 Okt Amiruddin berkata dia sekali lagi menghantar surat kepada ROS untuk mendapatkan kebenaran daripada responden kedua untuk mengguna pakai lambang atau logo Pejuang bagi urusan pengendalian laman sesawang parti itu.

Bagaimanapun, dakwanya Pejuang sekali lagi tidak menerima sebarang maklum balas daripada ROS, mendorong pihaknya mengeluarkan kenyataan media pada 29 Oktober berhubung status permohonan pendaftaran Pejuang.



Dia mendakwa ROS tidak memberikan maklum balas kepada jawatankuasa penubuhan Pejuang secara langsung sebaliknya melalui kenyataan media pada 30 Oktober.

Katanya, selepas Pejuang mendesak ROS melalui kenyataan media bertarikh 2 Nov, ROS kemudian mengatur pertemuan dengan jawatankuasa penaja penubuhan Pejuang pada 17 Nov.

Ia katanya bagi memberikan maklumat terkini berhubung penarikan diri salah seorang ahli jawatankuasanya, Maszlee Malik dengan menggantikannya kepada satu nama baru.



Tambahnya, hanya pada 17 Nov selepas daripada pertemuan tersebut, dia menerima satu email daripada ROS yang menyatakan dirinya dilantik sebagai setiausaha jawatankuasa penubuhan Pejuang dan satu nombor pertubuhan sementara.

Pada 19 Nov, Amiruddin berkata dia menyerahkan pindaan pendaftaran Pejuang yang mengandungi nama ahli jawatankuasa penubuhan Pejuang yang baru mengantikan Maszlee.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini ROS masih belum membuat sebarang keputusan terhadap permohonan pendaftaran parti itu.

-MalaysiaKini