PH gagal lagi bila tiga Belanjawan Kementerian dilulus hari ini, tinggal lima lagi.
PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi tiga kementerian selepas perbahasan peringkat jawatankuasa hari ini.
Belanjawan bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia diluluskan jam 5 petang melalui undian belah bahagi.
Seramai 107 anggota parlimen mengundi untuk meluluskan perbelanjaan operasi kementerian itu berjumlah RM 1,197,464,900.
Seramai 100 anggota parlimen lain menentang, manakala 13 lagi tidak hadir.
Dewan Rakyat juga meluluskan usul untuk memotong RM45 juta daripada peruntukan berjumlah RM85.5 juta buat Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) atau dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Belanjawan untuk Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sumber Manusia juga diluluskan awal hari ini melalui undian suara.
Kerajaan secara keseluruhan meluluskan perbelanjaan untuk 22 kementerian, manakala lima lagi akan dibahaskan ketika parlimen disambung semula Isnin.
Persidangan dewan bersambung Isnin.
- Bernama