Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pihak pendakwaan mohon tutup kes Rosmah

foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas 23 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi tuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan demikian selepas saksi terakhir, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, selesai memberikan keterangan.

Hakim Mohamed Zaini memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Disember ini dan 4 Januari depan serta mengemukakan jawapan balas pada 29 Januari.


Mahkamah turut menetapkan 10 Februari tahun depan untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Rosmah, 69, dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.

Terdahulu Sri Ram memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan 10 saksi kepada pihak pembelaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio mengenai percakapan yang didakwa membabitkan Rosmah dan Najib dan transkripnya, sebagai bukti pendakwaan di mahkamah.


Rosmah, yang berbaju kurung putih dan berselendang, menghadapi satu tuduhan meminta wang berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Dia sepatutnya dibicarakan bersama bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek itu.

Bagaimanapun, pada 8 Januari lalu mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

-BeritaHarian