Bekas isteri keluar "dating", saya boleh jaga anak di rumah -Keith Foo
Meskipun tidak lagi bergelar suami isteri selepas bercerai pada Disember tahun lalu, pelakon Keith Foo berkata hubungannya dengan bekas isteri, Kim Raymond tetap baik.
Ujarnya, apa yang lebih menjadi keutamaan adalah mereka tetap merupakan ibu dan kepada kepada anak mereka, Skylar Raymond Foo kini berusia tiga tahun.
Mengakui hidupnya sunyi, namun Keith akui lebih selesa hidup solo. Tidak pernah menutup pintu hatinya untuk berkahwin lagi, Keith berkata buat masa ini tiada orang yang sudi berkenalan.
“Saya tidak boleh tipu, rasa sunyi memang ada. Maklumlah, dulu sewaktu bangun tidur, anak di sebelah dan dia sentiasa ada di rumah. Sekarang, semuanya sudah berubah.
“Jujur saya cakap, tiada orang yang sudi berkenalan. Saya selesa hidup solo, namun hati ini tidak pernah tertutup untuk berumah tangga semula,” katanya.
Ditanya mengenai bekas isteri kini seperti dalam proses mengenali hati budi seseorang, Keith berkata dia terbuka mengenai perkara itu.
“Saya selalu gembira dengan siapa pun pilihan hatinya. Kalau dia ingin pergi ‘dating’, saya sangat galakkan, saya boleh jaga anak di rumah. Hubungan saya dengan Raymond tetap okey walaupun tidak lagi tinggal sebumbung sebagai suami isteri,”katanya.
-Rotikaya