Empat beradik ditahan lokap, larikan jenazah bapa dari Hospital Lahad Datu
KOTA KINABALU: Empat beradik yang ditahan polis selepas membawa keluar jenazah bapa mereka yang perlu menjalani ujian Covid-19 dari Hospital Lahad Datu, direman tiga hari bermula hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, empat beradik berusia 26 hingga 31 tahun itu direman untuk siasatan lanjut kerana melanggar SOP pengurusan Covid-19.
Katanya, sebelum itu, bapa mereka yang berusia 58 tahun menerima rawatan di hospital berkenaan dan diletakkan di bawah kategori pesakit dalam siasatan (PUI).
“Ahli keluarga suspek sudah diberikan penerangan berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan perlu menjalani ujian saringan risiko jangkitan.
“Bagaimanapun, mereka enggan menuruti SOP berkenaan dan nekad melanggar prosedur dengan membawa balik jenazah ke rumah mereka di Kampung Panji, Lahad Datu,” katanya dipetik Berita Harian.
Hazani berkata, jenazah berkenaan sudah dibawa balik ke bilik mayat Jabatan Forensik untuk proses dan keputusan ujian Covid-19.
Katanya, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Sehubungan itu, Hazani menasihatkan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha memerangi penularan Covid-19.
Rabu lalu, empat beradik itu ditahan polis selepas melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu.
Mereka bertindak demikian setelah enggan membenarkan pihak hospital menjalankan SOP pengurusan Covid-19 ke atas jenazah bapa mereka. -FMT