Geng pentaksub teori konspirasi halang orang ramai dapatkan vaksin
Los Angeles: Puluhan penunjuk perasaan mencetuskan gangguan di pusat pengagihan vaksin Covid-19 di Stadium Dodger di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), lapor media tempatan.
Perkongsian di media sosial menunjukkan berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang membawa sepanduk menggesa perintah berkurung ditamatkan dan menyuarakan teori konspirasi antivaksin, berhimpun di hadapan pintu masuk ke pusat pengagihan itu.
"Penunjuk perasaan hanya sekitar 30 orang. Tidak pasti kenapa mereka menutup seluruh fasiliti itu," kata seorang pengguna Twitter, Mikel Jollet.
Media AS yang memetik jabatan bomba melaporkan, pihak berkuasa menutup pusat agihan itu hampir sejam, namun polis Los Angeles kemudian menegaskan pusat itu tidak ditutup dan vaksin akan terus diagihkan.
Keaadaan di Stadium Dodger, LA |
Insiden itu menjadi antara cabaran terbaharu pengagihan vaksin di AS, yang merekodkan jumlah jangkitan dan kematian Covid-19 tertinggi di dunia.
Lebih 26 juta individu dijangkiti wabak itu, manakala 439,000 meninggal dunia di AS sejak permulaan Covid-19, berdasarkan kiraan Johns Hopkins University setakat semalam.
Presiden Joe Biden telah berjanji untuk memberi vaksin kepada 100 juta orang dalam 100 hari pertamanya.
Di Los Angeles, di mana kes Covid-19 meningkat pada musim sejuk ini, vaksin hanya diberikan kepada pekerja perubatan dan mereka yang berusia 65 tahun ke atas.
Namun, mereka di dalam kategori itu juga sukar mendapatkan janji temu kerana bekalan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna adalah terhad. -MyMetro