Isu desak Presiden UMNO berehat, Tok Mat cipta puisi "makan dalam"
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan hari ini menjawab persoalan ramai pihak mengapa dia dilihat seakan-akan berdiam diri mengenai perkembangan politik mutakhir, khususnya melibatkan Umno.
Melalui beberapa rangkap puisi yang ditulis di Facebook, Mohamad melahirkan suara hatinya betapa Umno perlu diperkasa dan mengelakkan perpecahan.
Justeru Mohamad berkata dia memilih untuk bersikap membisu supaya 'ribut' dalam parti itu reda terlebih dahulu.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga memberikan bayangan bahawa ahli-ahli Umno boleh menentukan kepimpinan yang dikehendaki mereka pada pemilihan parti itu yang akan datang.
Antara bait puisi tersebut berbunyi:
"Bila sampai masa pemilihan parti untuk dikota
Pilihlah nanti pemimpin kesukaan kita
Ketika itu tepuk dada tanyalah selera
Jika itu satu-satunyanya cara
Untuk tenangkan jiwa yang lara
Secara kebetulan, puisi itu ditulis Mohamad ketika desakan semakin kuat dari dalam Umno agar presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat.
Ini sekali gus membuka tafsiran apakah timbalan presiden Umno itu bersedia mencabar Zahid bagi jawatan presiden pada pemilihan parti itu akan datang.
Kelmarin, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Selangor, Aemirul Zaki dilaporkan berkata Zahid boleh berbuat demikian secara sukarela tanpa perlu menunggu pemilihan parti atau keputusan Perhimpunan Agung Umno.
Katanya, Zahid juga boleh berehat untuk menyelamatkan parti dengan menyerahkan kepimpinan kepada Mohamad sehingga pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan desakan serupa oleh Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang.
Gesaan sama turut disokong oleh Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin.
Untuk rekod Zahid pada 2018 pernah “bercuti” dan menyerahkan tugasnya, termasuk jawatan sebagai pengerusi BN, kepada Mohamad yang juga timbalannya.
Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah kepimpinannya selepas tewas pada pilihan raya umum 2018.
Berikut adalah puisi penuh Mohamad:
Ramai orang tertanya-tanya
Mengapa saya membisu seribu bahasa
Bagi saya, biarlah ribut ni reda
Saya tak mau menambah duka
Yang penting parti mesti diperkasa
PRU 15 kita nak jadi juara
Jika kita berpecah ramai yang seronok
Kita berkecamuk ramai yang gembira
Ayuh kita cari mana yang elok
Elakkan yang cela hilangkanlah lara
Susunlah langkah menuju hala
Pakat-pakatlah untuk bertenang seia sekata
Jangan parti berkecamuk dan bergelora
PRU15 mesti jadi keutamaan kita
Bila sampai masa pemilihan parti untuk dikota
Pilihlah nanti pemimpin kesukaan kita
Ketika itu tepuk dada tanyalah selera
Jika itu satu-satunya cara
Untuk tenangkan jiwa yang lara.