Hakim Kanan Mahkamah Rayuan digantung tugas sebelum tempoh bersara
Hakim kanan Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer digantung selama enam bulan oleh Jawatankuasa Etika Hakim (JEC).
Penggantungan itu menjadikan tempohnya sebagai hakim berakhir memandangkan dia dijadual bersara tahun ini.
Peguam Wilson Joy Appukuttan yang mewakili Hamid berkata, jawatankuasa itu sudah memaklumkan mereka berhubung keputusan berkenaan.
“Pengerusi JEC berkata, mereka berpuas hati yang aduan itu terbukti dan Hamid digantung daripada jawatannya mulai hari ini hingga 27 Ogos,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.
Hamid ialah hakim pertama yang digantung sejak Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dikuatkuasakan.
Terdahulu, Hamid yang diminta hadir di depan JEC enggan berbuat demikian kerana mahu mencabar komposisi dan keperlembagaan JEC.
Hamid mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam beberapa kes berprofil tinggi.
Pada Februari 2019, Hamid mengemukakan afidavit yang mendakwa salahguna kuasa dan penipuan dalam badan kehakiman.
Bahagian utama afidavit itu telah diarahkan dikeluarkan.
Ada cadangan ketika zaman Kerajaan Pakatan Harapan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan tersebut, namun Peguam Negara pada masa itu Tommy Thomas mengatakan perkara itu tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat bantahan para hakim
JEC kemudian memulakan prosiding tatatertib terhadap Hamid dan mengarahkannnya memberikan surat tunjuk sebab pada Ogos 2020.
Dia diminta untuk menjelaskan afidavit berkenaan mana dia, antara lain, mendakwa hakim tertentu bertindak campur tangan dalam kes-kes berprofil tinggi.
Hamid juga diminta menjelaskan penghakimannya di mana dia telah menyatakan bahawa mahkamah perlu memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda terhadap kepentingan umum dan kebebasan asasi.
Menurut laman web Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah, Hamid dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1 Mac 2007 dan menjadi hakim mahkamah tinggi pada 1 Oktober 2009.
Dia berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak dinaikkan pangkat sehingga 7 Jan 2013 sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan. -MalaysiaKini