Detik bersejarah PM Muhyiddin terima suntikan vaksin
PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menerima suntikan pertama dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech melalui fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.
Beliau menerima suntikan vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 yang dilakukan oleh Ketua Jururawat Lina Ibrahim, tepat 2.42 petang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu.
Selain Muhyiddin, turut menerima sutikan vaksin ialah Dr Noor Hisham yang disuntik oleh Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9 Putrajaya, Mazirah Mokhtar.
Turut menerima suntikan hari ini, Pegawai Perubatan Dr Tan Yee Ling, Penolong Pegawai Perubatan Khairul Asraf Mohd Yasin, jururawat Sheilla Mellisa Sikin dan pemandu Clement M Francis.
Selepas menerima suntikan vaksin kesemua mereka termasuk perdana menteri perlu menjalani proses pemantauan untuk kesan sampingan selama 15 minit.
Susulan pemantauan itu, Muhyiddin bersama Dr Noor Hisham keluar dari pusat suntikan tanpa kesan sampingan.
Mereka kemudian perlu dipantau selamat dua minggu lagi untuk melihat kesan sampingan lain.
Terdahulu Muhyiddin tiba di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya jam 2.25 petang sebelum mendengar taklimat ringkas serta melalui lima stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal 26 Feb ini bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin dalam fasa pertama yang akan berlangsung sehingga April ini.
Ahad lalu, 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia dengan sebahagiannya diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura, hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara Asia Pasifik.
Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3% adalah petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7% anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, polis, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Fasa kedua program dari April hingga Ogos melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kelainan upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.
Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 kepada kira-kira 80% penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.
-FMT