Dr M akan sokong Najib dalam kes saman Tommy Thomas
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menawarkan bantuan kepada seterunya, Najib Razak, dengan berkata beliau akan menyokongnya jika Ahli Parlimen Pekan itu mengambil tindakan atas dakwaan terhadap bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.
Ketiga-tiga mereka adalah bekas perdana menteri Malaysia.
Mahathir berkata, beliau akan “menyokong” Najib jika mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersirat dalam buku bekas peguam negara Tommy Thomas yang mendakwa Razak sebagai dalang rusuhan kaum pada 1969.
Dalam hantaran di Facebook, Mahathir berkata Najib harus memfailkan saman terhadap Thomas kerana memfitnah Tun Razak, pemimpin Melayu yang disegani.
“Kalau yang ini, saya akan sokong dia,” katanya, membawa dimensi baru dalam pertengkaran berpanjangan antara kedua-duanya.
Thomas, dalam bukunya baru-baru ini, mengaitkan rusuhan berdarah 13 Mei dengan rampasan kuasa oleh Razak, perdana menteri kedua negara.
Mahathir juga memberitahu Najib supaya beliau menyiapkan “fakta yang relevan” untuk menarik Thomas ke mahkamah kerana mengaitkan Ahli Parlimen Pekan itu dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam bukunya.
Hantaran Ahli Parlimen Langkawi itu, adalah yang terkini dalam “pertempuran” antara mereka di media sosial yang bermula selepas Najib menyangkal dakwaan Mahathir di dalam satu wawancara bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam badan kehakiman negara ketika kali pertama menjadi perdana menteri ketika era 80an.
Mahathir turut menyentuh kenyataan anti-Cina yang didakwa dikeluarkan oleh Najib pada tahun 1987 seperti yang didakwa.
Sebagai respons, Najib menolak tuduhan itu, dengan menegaskan beliau sudah menafikan tuduhan itu beberapa kali, termasuk di Dewan Rakyat selepas disoal mendiang Karpal Singh.
Najib turut sertakan bukti berita yang mediang Karpal SInght pada ketika itu juga telah menerima penafian Najib.
"Najib nafi buat kenyataan anti masyarakat Cina pada 1987. Baguslah. Saya terimalah penafiannya." kata Mahathir.
-FMT