Ebit Lew diarah henti salur bantuan di Semporna, terpaksa batal hasrat bina sekolah
Pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini memaklumkan dia terpaksa menghentikan segala bentuk bantuan kepada penduduk di pulau-pulau Semporna, Sabah.
Dalam catatan di Facebooknya, Ebit berkata ia termasuk ikhtiarnya untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka yang diIslamkannya semalam.
"Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.
"Pagi ini, saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna minta diberhentikan bantuan di sekitar sini.
"Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya.
Ebit semalam dilapor membawa 490 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.
Dalam catatan di Facebooknya, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan di Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.
Katanya, kesemua penduduk di kawasan tersebut tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan, terputus bekalan makanan.
Mengulas lanjut, Ebit berkata pihaknya telah menyediakan barang keperluan bagi pembinaan sekolah yang dijanjikan.
Namun, katanya ia tidak dapat diteruskan.
"Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang.
"Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ya ustaz dan ustazah semua," katanya.
Menurut laporan Bernama, pihak berkuasa telah mengeluarkan Perintah Berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) telah dilanjutkan sehingga 14 Februari depan.
Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Hazani Ghazali berkata perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Beliau berkata orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara jam 6.00 petang hingga jam 6.00 pagi.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone.
“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-Bernama/MalaysiaKini