PETALING JAYA: Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands kembali dibuka petang ini, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa RWG akan kembali beroperasi mulai jam 6 petang, Selasa, 16 Feb 2021 dengan SOP yang ketat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pengusaha resort dan kasino popular itu berkata, beberapa hotel, kemudahan, tarikan dan tawaran lain akan tertakluk kepada waktu operasi yang dirombak semula, pilihan yang terhad atau penutupan sementara.
Tambahnya, tetamu juga boleh mula membuat tempahan mulai hari ini.
“Kami akan terus mematuhi sepenuhnya SOP ketat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan di seluruh resort dan kami turut meminta kerjasama tetamu untuk melakukan hal yang sama. Keselamatan dan kesejahteraan tetamu serta pekerja tetap menjadi keutamaan kami.
“Kami mengucapkan terima kasih kerana memahami dan di atas kesabaran anda sepanjang penutupan sementara resort kami. Kami menantikan kedatangan anda kembali ke RWG. ”
Resort itu ditutup berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) di seluruh negeri di semenanjung dan wilayah persekutuan mulai 12 Jan lalu dan berlanjutan sehingga 18 Feb. PKP telah ditarik balik di Pahang yang akan berada di bawah PKPB sehingga 4 Mac manakala Selangor kekal di bawah PKP.
Biarpun masih dalam tempoh PKP, minggu ini, kerajaan mengumumkan pembukaan semula lebih banyak sektor perniagaan.
Syarikat nombor ramalan, yang merangkumi pengendali nombor empat digit seperti Magnum, Sports Toto dan Damacai juga dibenarkan untuk beroperasi semula mulai pagi ini. -FMT