Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lapan premis lakukan aktiviti "melombong bitcoin" diserbu polis


Pihak polis dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) semalam menyerbu lapan buah premis haram 'melombong' bitcoin di Serdang, Selangor.

Serbuan itu dibuat susulan maklumat orang awam yang mendengar bunyi bising yang kuat dan bayangan warna merah di sebalik bilik pengkedap bunyi di bangunan Atmosphere, pusat perniagaan Bandar Putra Permai.

Ketua Polis Daerah Serdang, Razali Abu Samah berkata serbuan itu dibuat dengan bantuan pasukan Seal TNB seramai 12 anggota (TNB KRCC).


"Setelah melakukan intipan selama tiga hari pasukan serbuan percaya bahawa ada kegiatan kecurian tenaga elektrik di kawasan premis kedai ini.



"Pihak TNB telah membuat pemeriksaan di premis yang telah disyaki dan mendapati terdapat sambungan wayar elektrik yang tidak sah pada premis tersebut.

"Seterusnya pasukan serbuan telah memecahkan pintu premis untuk masuk ke dalam. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat mesin bitcoin yang masih beroperasi di dalamnya," katanya kepada pemberita.


Tambahnya, pihak polis merampas 631 mesin bitcoin.

"Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi selama enam bulan. Premis ini telah diubah suai supaya nampak seperti tidak beroperasi.

"Beberapa lapisan papan lapis telah digunakan untuk menghalang bunyi yang kuat keluar daripada premis.

"Pihak TNB telah mengganggarkan kerugian lebih kurang RM38,000 setiap bulan bagi setiap satu premis bitcoin ini sedangkan mereka hanya membayar RM7 sebulan untuk setiap premis," katanya.

Jelasnya, untuk mendapatkan satu mata bitcoin premis ini perlu beroperasi 24 jam selama enam bulan mengikut kuantiti mesin bitcoin dan kelajuan internet.


"Nilai bitcoin terkini adalah RM153 untuk 1 mata," katanya.

Razali berkata bahawa setakat ini tiada tangkapan dibuat.

"Premis ini kosong ketika serbuan dibuat. Tetapi, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti pemilik dan penyewa premis tersebut," katanya.

Katanya, kesemua rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah seksyen 427/379 Kanun keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum hingga RM1 juta dan 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.