Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Malaysiakini didenda RM500,000 hina mahkamah, editor rayu sumbangan orang ramai


Portal berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman itu semasa prosiding hari ini.

Pada 16 Jun tahun lalu, setelah dilantik sebagai Peguam Negara, Idrus memohon prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan.

Idrus berpendapat bahawa kedua-dua responden telah menghina mahkamah dengan menerbitkan komentar lima pembaca berhubung sebuah sebuah artikel bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”


Komen tersebut, menurut Idrus, "jelas bermaksud bahwa badan kehakiman melakukan kesalahan, terlibat dalam rasuah, tidak menegakkan keadilan dan integriti yang meragukan.”

Terdahulu dalam keputusan majoriti 6-1, hakim mendapati Malaysiakini bertanggung jawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembacanya.

Bagaimanapun, keputusan majoriti memutuskan bahawa ketua editor portal berita berkenaan, Steven Gan tidak bersalah atas tuduhan yang sama.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf menyampaikan keputusan majoriti 6-1, dengan hakim yang tidak bersetuju adalah hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini.


Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara, Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tersebut.

Ketika menyampaikan keputusan hari ini, Rohana memutuskan bahawa mahkamah perlu mengambil kira tanggungjawabnya untuk memandang serius tindakan menghina mahkamah, yang akhirnya melemahkan sistem kehakiman di Malaysia.

"Kenyataan yang menyinggung (komen berkenaan) telah tersebar luas di dalam dan luar negara, dan kandungannya bersifat palsu dan celaaan, serta mengandungi tuduhan rasuah.

"Kami berpendapat bahawa denda RM500,000 adalah wajar.

"Kami memerintahkan denda oleh responden pertama dibayar dalam masa tiga hari mulai Isnin (minggu depan)," kata Rohana.


Rayu sumbangan orang ramai

Sementara itu, Steven Gan merayu ihsan orang ramai untuk mengutip sejumlah RM500,000 bagi membayar denda tersebut.

"Kami berharap rakyat Malaysia sudi menyumbang kepada tabung kami. Keterbukaan terhadap pandangan kritikal adalah tanda institusi yang kuat dan sihat.

"Selama 21 tahun, Malaysiakini bergantung atas ihsan dan kemurahan hati orang ramai untuk meneruskan misinya. Kami sekali lagi merayu rakyat Malaysia untuk membantu kami," kata Gan.

-MalaysiaKini