Mayat wanita 30an terapung seminggu di laut sebelum terdampar di pantai -Polis Bachok
BACHOK: Penduduk tempatan yang sedang mencari tulang sotong di Pantai Aur Kechil, di sini gempar dengan penemuan mayat dipercayai seorang wanita dalam keadaan separuh bogel terdampar di pantai itu, hari ini.
Mayat yang keseluruhannya sudah mula mereput itu ditemukan kira-kira pukul 8 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintenden Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, sejurus selepas menerima laporan orang awam berhubung penemuan itu, pihaknya terus ke lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dianggarkan berusia 30-an dan masih memakai baju T bersama jaket hitam dan berada dalam keadaan terlentang.
“Hasil siasatan awal anggota forensik juga mendapati tiada kesan pada anggota badan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
“Setakat ini kita klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mohd. Yusrizal berkata, mangsa dianggarkan meninggal dan terapung dalam air laut dalam tempoh seminggu sebelum terdampar di tepi pantai berkenaan.
“Kita juga tidak menemukan sebarang dokumen yang menunjukkan identiti mayat selain sukar untuk menentukan bangsa atau keturunannya sama ada warga negara atau pendatang asing kerana bahagian kulitnya sudah reput.
“Siasatan lanjut terus dijalankan termasuk meneliti semula laporan kes orang hilang di kawasan sekitar,” katanya.
Mayat terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
-UTUSAN ONLINE