Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib beri tempoh hingga Jumaat untuk Tommy Thomas mohon maaf


Bekas perdana menteri Najib Razak menuntut supaya bekas peguam negara Tommy Thomas menarik semula dakwaan terhadap Najib di dalam memoirnya, yang mengatakan bahawa ahli parlimen Pekan itu memainkan peranan dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam notis tuntutan kepada Thomas, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM10 juta dan mengemukakan “permohonan maaf” yang sebenar-benarnya yang akan ditentukan oleh peguam.

Thomas diberi tempoh sehingga Jumaat tengah hari untuk berbuat demikian. Menurut Shafee, jika tidak pihaknya akan mengemukakan saman fitnah terhadap Thomas awal minggu depan.


Shafee berkata, kenyataan Thomas dalam memoirnya yang baru dilancarkannya, "My Story: Justice in the Wilderness” adalah sangat cuai, melulu, tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan bertujuan untuk mencemarkan imej dan reputasi baik Najib di mata orang ramai dan seterusnya mendedahkan anak guamnya kepada kebencian, cercaan, penghinaan, ejekan dan cemuhan orang ramai."

“Kamu menggambarkannya sebagai pembunuh dengan kesimpulan secara langsung dan sindiran yang sama sekali tidak benar, palsu dan tidak mempunyai asas atau bukti," katanya.

"Kenyataan anda yang mempertikaikan perkara itu jelas bermotifkan mala fide (berniat jahat) dan dilakukan demi kepentingan diri untuk mencari publisiti murahan, sensasi dan keuntungan," dakwa Shafee.

Shafee berkata kenyataan dalam buku itu telah menimbulkan rasa tertekan dan memalukan Najib terutamanya apabila kenyataan itu dibuat oleh bekas peguam negara Malaysia.


“Kemudian, kamu dengan sengaja membuat kenyataan ini walaupun mengetahui bahawa Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menolak percubaan untuk menyemak semula keputusan mereka yang berkaitan dengan sabitan terhadap Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar," katanya.

Dalam memoirnya, Thomas berkata Sirul telah memberikan bukti yang membenarkan dakwaan tertuduh bersama Azilah, yang membabitkan keterlibatan Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya.

Thomas berkata dia diberitahu Sirul sebelum itu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Australia bahawa dia diarahkan untuk membunuh perisik asing, seperti yang didakwa oleh Azilah.

Menurut Thomas, ia berdasarkan wawancara oleh seorang timbalan pendakwa raya kanan yang diarahkannya untuk bertemu Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood di Australia.


Kedua-dua Sirul dan Azilah bekas anggota pasukan komando khas polis. Mereka disabitkan membunuh warga Mongolia pada tahun 2006.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia setelah Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan kemudian mengembalikan keputusan bersalah terhadapnya dan sabitan hukuman mati. – Mkini