Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pajero terbalik, bawa ketum setengah tan


PADANG BESAR: Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbalik selepas dikejar peronda polis di Kampung Kolam, di sini membawa kepada penemuan 500 kilogram daun ketum yang disembunyikan dalam kenderaan berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, dalam kejadian jam 8 pagi apabila polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan.

"Kita mengesyaki pemandu Mistsubishi Pajero ada membawa bekalan daun ketum dan menyedari keadaan berkenaan, anggota peronda kemudian bertindak mengejar kenderaan itu.


"Namun begitu, suspek yang menyedari dirinya diekori kemudian bertindak memecut laju kenderaan pacuan empat roda yang dipandu.

Namun, suspek bagaimanapun gagal mengawal kenderaannya menyebabkan ia terbabas dan terbalik di suatu kawasan lapang di kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Saifudin berkata, suspek yang dipercayai cedera berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran bagi mengelakkan daripada ditahan.

Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian memeriksa kenderaan suspek dan berjaya menemui 15 guni berwarna putih yang didalamnya mengandungi daun disyaki ketum dianggarkan seberat 500kg.

guni yang dipercayai mengandungi daun ketum




Beliau berkata rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM15,000.

"Siasatan awal polis mendapati bekalan daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan tikus di FELDA Mata Ayer, dekat sini.

"Semua rampasan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 di mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 dan empat tahun penjara," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah ataupun penyeludupan daun ketum dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di talian 04-9491481. -BHonline