Pelajar Akaun harumkan nama UUM, dapat markah ketiga tertinggi dunia
Pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) Universiti Utara Malaysia (UUM), Looi Pui Mun, 23, berjaya mengharumkan nama universiti itu apabila disenarai pada kedudukan ketiga dunia selepas memperoleh markah tertinggi di Malaysia bagi kertas Advanced Performance Management (APM) Dis tahun lepas.
Pelajar di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz itu turut memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan ketujuh di dunia dalam peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR) pada Mac selain berada di tempat ketiga di Malaysia untuk kertas Strategic Business Leader (SBL) pada Sept.
Looi berkata dia gembira dengan kejayaan memperoleh markah tertinggi itu dan tersenarai pada kedudukan ketiga dunia bagi kertas APM yang berteraskan kepada pengurusan strategik untuk mencapai objektif organisasi.
“Apabila menduduki peperiksaan bagi kertas ini (APM), saya perlu menilai sistem pengurusan prestasi sesebuah organisasi bagi menentukan sama ada ia sesuai dalam konteks organisasi berkenaan.
“Jika dibandingkan dengan kertas SBR yang lebih berteraskan laporan kewangan korporat bersifat luaran, APM adalah peperiksaan yang menguji daya analisis calon untuk menyelesaikan masalah dalaman sesebuah organisasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UUM di Alor Setar hari ini.
Looi yang bakal menduduki satu lagi peperiksaan menjelang Jun nanti bagi melengkapkan program The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) berkata, untuk memperoleh markah tertinggi itu dia melakukan ulang kaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu.
“Kecekalan dan iltizam yang tinggi adalah sangat penting dalam mengimbangi peperiksaan ACCA dan ijazah di UUM.
"Saya sentiasa menetapkan matlamat pembelajaran ACCA berdasarkan garis masa dan tidak melengahkan waktu untuk mengulang kaji sehingga saat akhir yang akan lebih memberi tekanan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata pihaknya berbangga atas pencapaian Looi yang membuktikan bahawa program perakaunan UUM bersama ACCA semakin menjadi pilihan utama pelajar di dalam dan luar negara.
“Pencapaian itu secara tidak langsung membuktikan program perakaunan UUM adalah setanding dengan universiti terkemuka dunia dan selaras dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia yang terbaik,” katanya.
- Bernama