Penggunaan elektrik dijanga meningkat hingga Mac -TNB
KUALA LUMPUR – Penggunaan elektrik dijangka meningkat akibat cuaca panas sehingga bulan depan.
Justeru,Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaran pengguna mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh itu.
“Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa akhir Monsun Timur Laut ketika ini akan berterusan sehingga pertengahan Mac 2021, dengan taburan hujan yang rendah serta cuaca agak panas,” kata TNB menerusi kenyataan.
Antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan adalah tidak membiarkan pendingin hawa, kipas dan lampu terpasang dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik selepas selesai menggunakannya.
Selain itu, pelanggan dinasihatkan menetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.
“Menyenggara pendingin hawa yang kerap pula membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum serta lebih menjimatkan elektrik.
“Kotoran pada penapis menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa,” kata TNB menerusi satu kenyataan.
Pemilihan alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) juga membantu menjimatkan pengunaan elektrik.
“Ketika cuaca panas terik, tindakan menutup tingkap dengan langsir yang tebal boleh menghalang haba daripada masuk dan membebankan pendingin hawa. Semakin kurang beban pada pendingin hawa untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.
“Pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik.
Selain itu, elakkan suis alat elektrik terutamanya pemanas air terbuka tanpa digunakan.
– MalaysiaGazette