Penyebaran berita palsu mengenai vaksin, PDRM belum terima laporan polis
Kuala Lumpur, 25 Februari 2021 - Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam, media sosial dihujani pelbagai maklum balas.
Selain komen membina dan positif, terdapat juga segelintir warganet memberikan komen seolah-olah memperlekehkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Wartawan Harian Metro telah mendapatkan reaksi beberapa pakar kesihatan, pengamal undang-undang, ahli agama dan psikologi untuk mengulas perkara itu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga dan memelihara kesihatan rakyat dengan cara yang terbaik.
"Pakar-pakar berpendapat pada saat ini program pemberian vaksin adalah langkah yang terbaik dalam usaha membendung wabak COVID-19. Justeru kita perlu ikuti pandangan dan nasihat pakar-pakar yang sememangnya sudah diiktiraf kepakaran mereka sama ada di bidang perubatan, farmasi atau syariah untuk kebaikan bersama.
"Kalau seseorang itu tidak mahu atau enggan divaksin atas sebab peribadi maka janganlah pula pengaruhi atau menghasut orang lain. Cukuplah keengganan itu disimpan untuk dirinya sendiri sahaja," katanya.
Beliau turut ditanya adakah polis membuka kertas siasatan terhadap pihak ketiga yang membantah suntikan vaksin terutamanya membabitkan penyebaran berita palsu menggalakkan orang ramai tidak mengambil suntikan.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini belum menerima laporan polis berhubung penyebaran berita palsu mengenai vaksin COVID-19.
-HMetro