Rakyat boleh jangka kenapa Mahathir mahu kembali kepada UMNO -Zahid
KUALA LUMPUR- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian parti untuk tidak menerima ‘kepulangan’ Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau sebaliknya mencadangkan bekas Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO 22 Tahun itu untuk mencari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’.
“Rakyat juga tahu syarat yang ditetapkan beliau itu sekadar alasan. UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya.
“Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini. Atau juga ia strategi sama beliau pada PRU14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan BN,” bidas Zahid dalam satu kenyataan media, hari ini.
Zahid pada masa sama, turut memetik beberapa kata-kata ‘keras’ Dr Mahathir sebelum ini misalnya, “BN (Barisan Nasional) dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja” dan “UMNO dah hancur, banyak ahli minta nak masuk PH dan Bersatu. Yang tinggal nak jalan pun tak larat dah.
Selain itu Dr Mahathir pernah menyebut “Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO. Tetapi UMNO sertai kerajaan campuran sebagai parti UMNO, ini tidak dapat diterima.
“Siapa masih ingat juga Tun Mahathir pada 9 November 2019 mengaku menyuruh saya membubarkan UMNO kerana UMNO dianggap sudah tiada.
“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘U-turn’ paling drastik menyatakan beliau masih sayang UMNO dan bersedia kembali kepada UMNO.
“Tetapi kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama,” katanya.
Zahid menambah, bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang lain mendengar kata-kata Tun Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka.
“Saya fikir rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi PH dan Bersatu ini membuat pusingan U setajam itu.
“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri ke-7.
“Presiden Bersatu telah memecatnya. Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak luluskan pendaftaran parti baharunya,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, sejarah 2018 membuktikan siapa yang sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri. – SuaraTV