Sah, pusat beli-belah e-Curve Damansara akan tamatkan operasi pada akhir Mac
Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, tidak dinafikan banyak premis perniagaan terpaksa menamatkan operasi kerana tidak mampu untuk menanggung kos. Begitu juga situasi yang dihadapi oleh pengurusan pusat membeli-belah terkenal di Damansara iaitu E-Curve.
Menerusi laporan status yang dikongsikan melalui Facebook Malaysia Shopping Mall, memaklumkan pusat membeli-belah itu bakal menamatkan operasi pada 31 Mac ini.
Difahamkan, rata-rata pemilik premis perniagaan di situ mendapat notis secara lisan dari pihak pengurusan pusat membeli-belah berkenaan.
Maklumat diberikan dari penyewa pusat membeli-belah:
"Agak terkejut selepas menerima notis secara lisan dari pihak pengurusan E-Curve. Dimana pusat membeli-belah ini bakal menamatkan operasi pada 31 Mac. Kepada mana-mana rakan atau pembeli boleh kunjungi pusat membeli-belah yang lain seperti Sunway Giza, Scott Garden, Setia Walk, Trec KL dan kawasan berdekatan."
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sebak selepas mendengar khabar mengenai penutupan pusat membeli-belah itu tidak lama lagi.
Malah, mereka turut berkongsikan pengalaman ketika pernah melewati E-Curve suatu ketika dulu.
Terlalu banyak kenangan yang dikongsikan termasuklah penonton wayang, menikmati makanan di sana, menyaksikan live band dan sebagainya.
Sumber: Malaysia Shopping Mall