Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tak tahu pula UMNO ada akaun rahsia, kata Tok Mat


Beberapa pemimpin Umno mendakwa mereka tidak tahu-menahu mengenai kewujudan akaun rahsia Umno yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik sejak tahun 80an, seperti didedahkan di mahkamah semalam.

Menurut Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, dakwaan itu berada di luar pengetahuannya.

“Tak ada pula di dalam pengetahuan saya Umno ada akaun rahsia,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Dakwaan akaun rahsia itu dibangkitkan pihak pendakwaan dalam hujah bertulis semalam, ketika menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 juta, yang dituntut bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno dalam saman pelucuthakan berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings, adalah milik parti itu.


Senada dengan Mohamad, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin, turut menyatakan tidak tahu mengenai akaun rahsia berkenaan.

Namun, katanya, dakwaan itu haruslah dibuktikan memandangkan ia satu tuduhan yang serius.

“Pertama sekali, sebagai ahli Majlis Tertinggi, kita pun tak tahu (dakwaan) yang ada akaun rahsia.

“[...] Sekarang, ini tuduhan yang sangat serius. Kena buktikanlah (jika) akaun rahsia itu, sebab Majlis Tertinggi pun tidak tahu. Buktikan dulu ada akaun rahsia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas menteri Umno, Mohamed Nazri bin Abdul Aziz turut memberikan jawapan serupa.

“Saya tak tahu. Saya tak tahu langsung (kewujudan akaun rahsia),” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam hujah pasukan pendakwaan semalam, mereka mendakwa wang RM114.16 juta itu dijumpai daripada 35 beg yang dirampas polis, terdiri daripada pelbagai mata wang dan denominasi - yang dakwa mereka hasil aktiviti haram dan berasal dari 1MDB.


Sedangkan, dakwa mereka, tiada keperluan untuk Najib menyimpan sejumlah besar dana dalam pelbagai mata wang asing secara peribadi memandangkan Umno, kata Mereka, mempunyai akaun rahsia di sebuah bank di Malaysia untuk menerima sumbangan politik.

“Malah, bukti dari bendahari Umno (tidak disebutkan namanya) terdapat satu lagi akaun bank tidak rasmi dan tidak diaudit yang telah digunakan oleh Umno sejak tahun 1988 untuk menerima sumbangan politik.

"[...] Wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, yang boleh mengakibatkan Umno dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan,” kata pihak pendakwaan.

Susulan pendedahan itu, ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan berkenaan akaun rahsia yang tidak diaudit berkenaan, yang menurutnya, “pelanggaran serius di bawah peraturan ROS”.


Kenyataan itu dibidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii yang meminta kepemimpinan Bersatu tidak “terburu-buru” untuk mencadangkan mengharamkan Umno dan menyifatkan tindakan menggunakan alasan teknikal bagi mencapai tujuan itu adalah tidak “gentleman”.

“Saya yakin ROS tahu bidang kuasa kerja mereka,” katanya.

Seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek, hari ini turut melihat kenyataan Dr Muhammad Faiz itu sebagai tanda ada pemimpin Bersatu yang mahu melihat Umno diharamkan. 

“Sudah tentu ini menyulitkan kawan-kawan dari Umno yang sedang kuat mempertahankan Bersatu adalah sahabat yang wajib didukung. 

“Atau hanya bersahabat waktu diperlukan? Bajet pun dah lulus. Manis pun dah habis,” katanya di Facebook.

Ditanya mengenai gesaan Dr Muhammad Faiz itu, Zahidi bersetuju apabila diajukan cadangan bahawa ROS wajar menunggu perbicaraan kes mahkamah selesai terlebih dahulu sebelum melakukan penyiasatan.

KKKKKKKKKKKKKKKK

Terpulang pada ROS untuk siasat

Nazri pula, memberikan nada tidak kisah sekiranya Umno disiasat ROS berhubung dakwaan kewujudan akaun rahsia berkenaan.

“Itu terpulanglah. Terpulanglah (jika) mereka nak buat (siasat), itu hak mereka. Nak siasat, siasat. Tak nak siasat, tak apa.

“Nanti esok, kita siasat mereka pula,” jawabnya yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno.

Pada 3 September 2019, Najib adalah antara pihak ketiga yang mencelah dalam saman pelucuthakan melibatkan wang tunai dan barangan kemas yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residences di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Najib dan Umno - yang turut mencelah dalam saman itu- akan membalas hujah pendakwaan semasa prosiding di mahkamah pada 11 dan 15 Mac, menerusi peguam masing-masing.