Tun Faisal minta Lembaga Disiplin UMNO penuhi semua permintaannya sebelum ke tribunal
Gambar: FB Tun Faisal |
PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berharap lembaga disiplin parti itu menunaikan tiga permintaannya sebelum dihadapkan ke tribunal pada 1 Mac ini.
Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, sebagai langkah persiapan beliau sudah berbincang dengan beberapa pengamal undang-undang dan pemimpin veteran parti.
“Berdasarkan pandangan dan nasihat mereka, bagi menjamin dan memastikan proses pendengaran dan membuat keputusan tribunal ini dilaksanakan secara adil dan telus, saya berharap pihak Lembaga Disiplin Umno memenuhi tiga permintaan saya seperti berikut.
“Pertama adalah supaya Tan Sri selaku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Zulhasnan Rafique mendedahkan nama anggota tribunal termasuk pengerusi dan anggota yang bakal mengadili kes saya nanti.
“Kedua, saya juga berharap Tan Sri dapat mendedahkan nama pengadu atau nama Umno Bahagian yang membuat aduan terhadap saya dan apakah butiran aduan asal dan peraturan-peratuan yang didakwa telah dilanggar oleh saya.
“Ketiga, Lembaga Disiplin Umno membenarkan saya membawa dua pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan pihak yang boleh menasihati pada hari berkenaan,” katanya memaklumkan satu salinan surat permohonan dihantar kepada Zulhasnan.
Dalam pada itu, Faisal berharap ketiga-tiga permintaannya dapat dipenuhi memandangkan proses dan ketelusan tribunal itu amat penting bagi memastikan Umno dilihat adil dan mengenepikan persepsi bahawa Lembaga Disiplin Umno dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti.
“Surat jawapan terhadap dakwaan ke atas saya akan saya serahkan kepada Tan Sri (Zulhasnan) semasa sesi panel tribunal nanti,” katanya.
Pada 19 Feb lalu, media melaporkan Faisal menerima surat tunjuk sebab dan bakal dihadapkan ke tribunal Lembaga Disiplin Umno yang dijadualkan hari ini.
Antara kandungan surat itu adalah memintanya memberikan penjelasan mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya yang lantang mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.
Sementara itu, Faisal berterima kasih kepada Lembaga Disiplin Umno kerana membenarkannya menukar tarikh pendengaran ke 1 Mac kerana komitmen kerjanya.
“Masa tribunal adalah jam 2.30 petang dan akan berlangsung di tingkat 7, Menara Dato Onn, PWTC,” katanya.
Dalam pada itu, Faisal mengesahkan beliau tetap akan hadir walaupun Lembaga Disiplin Umno enggan memenuhi tuntutannya.
“Insya-Allah hadir, tapi tidak menjadi kesalahan untuk lembaga disiplin menunjukkan sikap terbuka dan mahu memberi keadilan kepada pihak dituduh. Sebelum ini ketelusan dan keputusan Lembaga Disiplin Umno pernah dipertikaikan, dalam kes Lokman Adam, ramai juga yang bercakap mengenai keadilan hukuman terhadap beliau.
“Ketelusan dan keterbukaan penting untuk mengelakkan isu kredibiliti terhadap Umno dan lembaga disiplin,” katanya. -FMT