KOTA BHARU: Seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, dalam keadaan tersangkut pada ketinggian kira-kira 8m di dahan pokok semarak berhampiran rumahnya di Tanjung Mas di Pengkalan Chepa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Rusli Muhammad berkata, Zakaria Adam, 62, ditemui terkulai di dahan pokok itu selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 pagi.
“Sebaik menerima panggilan, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera digegaskan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian. Kami dimaklumkan mangsa yang mengambil upah menebang pokok tersebut, pengsan dan tersangkut pada dahan pokok.
Dalam kejadian itu, Zakaria Adam, 62 tahun dipercayai memanjat pokok setinggi kira-kira enam meter dan didapati tidak sedarkan diri oleh dua rakannya yang ketika itu berada di bawah pokok yang sama.
"Dua rakannya cuba panggil tetapi mangsa tidak menyahut. Mereka kemudiannya memaklumkan kepada tuan rumah dan menghubungi balai bomba untuk dapatkan bantuan, "katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abd Rahim Daud ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.
-FMT