Warga emas leka main mahjong ditahan di Bukit Mertajam
BUKIT MERTAJAM: Polis telah menahan 18 individu, termasuk tujuh warga emas, yang sedang leka berjudi dan merampas wang tunai RM16,000 dalam serbuan di sebuah rumah jenis kampung di Sama Gagah di sini semalam.
Serbuan pada 4 petang itu dijalankan oleh sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hasil maklumat awam dan risikan.
Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan untuk berjudi, antaranya kepingan cip pelbagai warna, batu mahjong dan wang tunai sebanyak RM16,000, dipercayai duit untuk pertaruhan.
“Berdasarkan siasatan awal, rumah kampung dua tingkat itu disewa kumpulan tersebut untuk menjalankan aktiviti perjudian dan permainan mahjong sempena Tahun Baru Cina, dan polis menahan 17 lelaki serta seorang wanita warga Myanmar yang kesemuanya berusia 30 hingga 80 tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Rahimi Mohd Ra’ais ketika dihubungi, mengesahkan penahanan mereka dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana bermain judi dan turut dikompaun serta disiasat kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).