YB Siti Zailah pertahan tangki airnya, dakwa hanya nampak kecil dalam gambar
Selepas dilaporkan memadam ‘posting’ tangki air, Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff tampil dengan satu rakaman video berdurasi 13 minit.
Video yang dikongsi di Facebooknya bagi menjelaskan tentang projek tangki air di Kampung Gual Dalam yang telah menjadi bahan sindiran netizen semalam.
Menurut Zailah, tangki air yang dibina itu bukan setakat 27 keluarga malah boleh dimanfaatkan hampir 50 keluarga.
“Kapasiti tangki berkenaan bukan setakat 27 keluarga malah 50 keluarga pun boleh walaupun hanya ada satu tangki air,” katanya.
Katanya, tangki air berkenaan nampak kecil di dalam gambar sebab ia berada pada kedudukan yang tinggi dan jika ia dilihat jarak dekat tangki itu sememang besar.
“Ada orang pertikai tangki air kecil macam mana nak tampung air, ia mencukupi malah nak 50 buah rumah pun cukup nampak kecil dalam gambar sebab tangki air tinggi, kalau kita tengok dekat memang besar, setakat ini memang tidak ada masalah,” katanya.
Zailah atau Kak Lah sering dikaitaan dengan beberapa aksi melucukan sebelum ini seperti isu kambing biri-biri, memandu lori tanpa kunci serta dinyatakan laman berita rasmi Pas, Harakahdaily sebagai wakil rakyat yang berkhidmat sejak “lebih seabad yang lalu.” –MHdaily