Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Boleh adakan pemilihan UMNO, syarat semua yang dalam Kerajaan letak jawatan terlebih dahulu -Najib


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak berpendapat, mengadakan pemilihan Umno lebih awal akan melemahkan dan memecahkan lagi parti dan tidak adil untuk calon-calon lain kerana masih ada yang memegang jawatan sebagai Menteri di dalam kerajaan.

Idea untuk mengadakan pemilihan parti lebih awal adalah atas desakan menteri sains teknologi dan inovasi Khairy Jamaluddin yang hari ini berkata, pemilihan yang sepatutnya berlangsung tahun ini perlu diadakan supaya konflik dalaman parti dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum berlangsung.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Demokrasi Malaysia, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pemilihan parti lebih awal boleh mengakibatkan perpecahan dalam parti berlaku kerana akan ada yang bertanding menang dan kalah.


“Jika ada parti yang mahu melemahkan Umno, mereka akan menunggu pemilihan dan memujuk sesiapa yang kalah untuk menyertai mereka.”

Wujud persaingan yang tak sama rata

Tambahan pula katanya, adalah sukar untuk mewujudkan persaingan yang sama rata atau setara di mana ahli Umno yang berjawatan menteri boleh menggunakan jentera kerajaan bagi meningkatkan peluang untuk menang, seterusnya tidak adil untuk mereka yang tiada jawatan Kabinet.

"Kalau semua yang dalam kerajaan (Menteri Kabinet) letak jawatan, bertanding baru ada persaingan sama rata.

"Sebab bila orang dalam kerajaan dia akan tawar macam-macam dengan menggunakan peruntukan dari kerajaan dan sebagainya jadi tak adil lah bagi mereka yang tak ada jawatan." ujar Najib 

Katanya, memandangkan semua risiko itu, keputusan mengadakan pemilihan awal perlu diteliti dengan berhati-hati oleh pihak yang bertanggungjawab.


Amaran ‘penyakit’ yang melanda Malaysia

Ketika menutup ucapannya tadi, Najib menyenaraikan beberapa ‘penyakit’ yang kini melanda negara sambil menegaskan pembaharuan struktur perlu dilakukan berhubung tindakan lompat parti, dana politik dan pendaftaran pemilih.

Katanya, dengan membiasakan budaya lompat parti sebagai jalan akhir, ia sama seperti memberitahu orang ramai bahawa ‘tidak salah untuk berpaling tadah asalkan matlamat kita tercapai.’

Najib berkata, sehingga hari ini, seramai 40 Ahli Parlimen berpaling tadah sejak PRU14 dan tahun 2020 turut menyaksikan perubahan pentadbiran kerajaan di empat negeri yang juga terhasil akibat lompat parti.


Tambahnya, ketidakstabilan itu telah mengakibatkan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68% kepada USD2.5 bilion tahun lalu sedangkan negara jiran Indonesia berjaya menarik pelaburan sebanyak USD18 bilion melalui FDI.

“Prestasi Malaysia adalah lebih buruk berbanding negara jiran,” katanya.

Najib juga mengingatkan bahawa lompat parti dan pengisytiharan Darurat oleh kerajaan telah membuka ruang untuk kerajaan berterusan meminjam wang tanpa memperincikan bagaimana dan di mana ia akan dibelanjakan.

Beliau juga mengulas cadangan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz untuk mengadaptasi sistem senarai parti di mana kerusi akan kekal bersama parti apabila penyandang memutuskan untuk berpaling tadah kepada parti lain.


Mengenai derma pilihan raya, Najib berkata hakikatnya setiap aktiviti politik memerlukan kos, sama seperti aktiviti lain.

“Seiring dengan kos adalah aktiviti mengumpul dana. Soalannya bagaimana parti politik melakukannya, dan pada skala yang cukup besar untuk menanggung kos yang berkaitan dalam menggerakkanya,? soal Najib.

Pada 2014, Najib berkata, dia telah mencetuskan idea mengenai Akta Dana Politik sambil menambah PH, ketika berkuasa pada 2018 tidak menunaikan janji untuk melaksanakannya.

Mengenai penangguhan dasar Undi-18, Najib berkata itu menunjukkan kerajaan hari ini tidak mempercayai golongan muda dapat membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.

“Adakah kerajaan sedia ada menafikan hak kebebasan golongan muda menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih? Jika begitu tidakkah pentadbiran hari ini memberitahu generasi muda bahawa mereka tidak mempunyai suara untuk menentukan masa depan mereka? soalnya.

-FMT