Boleh tengok bola di stadium mulai 1 April
PETALING JAYA: Penonton dibenarkan memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia mulai 1 April ini, dengan maksimum 10% kapasiti stadium atau 2,000 orang, yang mana lebih rendah bagi negeri bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pula dibenarkan kapasiti 25% atau 8,000 orang.
Katanya, SOP untuk stadium sudah diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, penyokong akan dibenarkan untuk dua perlawanan bola sepak terlebih dulu untuk memantau dan melihat pematuhan SOP serta protokol.
Antara yang akan dipantau adalah SOP di pintu masuk serta keluar.
“Kami akan membuat ujian dahulu kerana bimbang dengan laluan masuk serta keluar,” katanya dengan mengingatkan penjarakan fizikal perlu dipatuhi pada setiap masa iaitu jarak 1.5 hingga 2m antara penyokong.
Katanya, tiket perlawanan akan dijual dalam talian.
Sementara itu, berhubung merentas negeri bagi Ramadan dan Aidilfitri, beliau berkata larangan perjalanan akan kekal sehingga diputuskan sebaliknya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata asrama pekerja dan kilang YTY di Lekir, Setiawan, Perak, akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 1 April.
Pada masa sama, PKPD di Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka yang sepatutnya tamat pada 19 Mac, dilanjutkan hingga 2 April.
Selain itu, katanya, 58 orang ditahan semalam bagi kesalahan ingkar PKP, dengan 54 dikenakan kompaun manakala empat direman.
Ismail berkata, antara kesalahan dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka, merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran, serta gagal menyediakan bahan untuk pendaftaran atau pengesanan kontak.
Katanya, polis turut menahan 17 pendatang asing tanpa izin serta merampas dua kenderaan dan sebuah bot melalui Ops Benteng.