Jangan senyap saja, Ismail Sabri perlu perjelas pendirian hubungan UMNO dan Bersatu -Khir Toyo
KUALA LUMPUR – Memegang peran penting sebagai Naib Presiden UMNO dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disarankan agar tegas menyatakan pendirian parti dan tidak hanya diam.
Syor ini disuarakan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memandangkan sudah ramai pemimpin yang bersuara teruja menanti saat itu. Pada masa sama ada juga sebahagian yang tekal bersuara – dan mendesak – agar keputusan tersebut dikaji semula.
Memetik Malaysikini, katanya di tengah suasana itu, barangkali ada yang terlupa akan satu watak penting dalam kepimpinan UMNO yakni Ismail Sabri.
Beliau merupakan pemimpin tertinggi UMNO yang diberi tempat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan presidennya dalam kabinet PN.
Namun berbanding dengan pemimpin lain dalam UMNO, Ismail Sabri secara relatif sangat senyap mengulas perkembangan semasa politik.
Justeru tidak aneh jika ada yang menganggap diamnya Ismail Sabri bukan diam biasa. Diamnya diam berubi.
Tetapi ia mungkin tidak memuaskan hati sesetengah pihak kerana ramai mahu tahu pendirian.
Hal demikian Khir berpendapat, Naib Presiden UMNO itu sepatutnya memainkan peranan dengan lebih tegas menyatakan pendirian parti, khususnya berhubung isu kerjasama mereka dengan Bersatu.
Kata Khir, Ismail Sabri tidak boleh menjadi seperti ‘air di dalam kolam’ saja apabila ada isu membabitkan parti ditimbulkan.
“Ismail Sabri kena tegas, dia tidak boleh seperti itu (berdiam diri) sebab dia naib presiden parti,” katanya.
-Suara.TV