Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kadar suntikan vaksin di Arab Saudi sebanyak 125,212 individu sehari


JEDDAH: Arab Saudi sudah memberi vaksin COVID-19 kepada lebih tiga juta penduduknya sejak hujung Disember tahun lalu, kira-kira 70 peratus daripada individu yang sudah mendaftarkan diri program vaksinasi itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi, pihaknya memberi suntikan vaksin COVID-19 pada kadar 125,212 individu sehari, menurut agensi berita Arab News.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi terus menekankan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19, ketika masih ada rakyat negara itu yang masih ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin.

Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly

Jurucakap kementerian pada sidang media semalam, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly menjawab pertanyaan yang sering diajukan termasuk penangguhan rancangan kehamilan sehingga selepas menerima vaksin, derma darah, kematian yang berkaitan dengan vaksin, apakah vaksin itu menjadi syarat untuk perjalanan atau ibadan umrah dan topik lain.


Al-Aly berkata, tidak ada petunjuk bahawa vaksin COVID-19 boleh memberi kesan ke atas mereka yang merancang untuk hamil, ibu yang menyusukan anak , malah menjelaskan kajian terus dilakukan mengenai kemungkinan pemberian vaksin tersebut kepada ibu hamil dan orang-orang dalam kumpulan usia yang lebih muda.

"Penderma darah juga boleh berbuat demikian tanpa sebarang masalah.

"Mengenai umrah dan perjalanan pelancong pula, vaksin berkenaan adalah untuk keselamatan semua orang, terutama membabitkan kumpulan manusia yang ramai dan pihak berkuasa tidak mengenakan sekatan kepada pelancong atau jemaah haji yang belum diberi vaksin," katanya.

Bagi mereka yang sudah menerima vaksin, beliau berkata, kementerian itu membuat tinjauan pasca suntikan menerusi aplikasi Sehhaty (MyHealth) membolehkan mereka mendaftarkan sebarang gejala selepas dos pertama atau kedua.


"Setakat ini, tidak ada kesan sampingan yang serius selain yang diharapkan - sedikit demam, sakit kepala, mual, menggigil atau sakit otot.

"Tiidak ada kematian yang berkaitan dengan suntikan vaksin, sekali gus menolak dakwaan bahawa seorang lelaki telah mati akibat komplikasi setelah menerima dos," katanya.

Sehingga semalam, Arab Saudi mencatatkan 382 kes baharu COVID-19 dengan enam kematian, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes ialah 385,020 kes. 

- AGENSI