Kakitangan Kedutaan Korea diarahkan tinggalkan Malaysia dalam masa 48 jam
KUALA LUMPUR: Malaysia amat kesal dengan keputusan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia kini terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya ditangguhkan sejak 2017.
Wisma Putra berkata, kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.
Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan pengubahan wang haram.
Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.
Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai 'jenayah tidak boleh dimaafkan' yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.
"Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan secara total," menurut laporan agensi berita KCNA.
Menurutnya lagi, rakyat Korea Utara diekstradisi itu terbabit dalam aktiviti perdagangan yang 'sah dari undang-undang' di Singapura.
Mun Chol Myong (kiri) |
Pada 9 Mac lalu, seorang lelaki Korea Utara dikenali sebagai Mun Chol Myong, gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah Malaysia terhadap perintah ekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
Menurut peguamnya, lelaki itu menafikan dakwaan bahawa dirinya mengetuai sekumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan item dilarang ke Korea Utara dan terbabit pengubahan wang haram menerusi sejumlah syarikat.
Chol Myong, berumur lingkungan 50-an, menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu.
Pertuduhan berkenaan berkait terutama dengan kerjanya di Singapura.
-FMT/Agensi