Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes saman fitnah Ismail Sabri, Anina memilih bela diri sendiri tanpa diwakili peguam


KUALA LUMPUR: Kes saman difailkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah bahawa beliau tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan didengar pada 1 Oktober di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Anina, 46, selaku defendan memberitahu mahkamah bahawa beliau yang juga seorang suri rumah tidak berkemampuan untuk melantik peguam, namun tetap akan membela dirinya sendiri.

"Saman akan diteruskan, saya hadir ke mahkamah dengan kepercayaan bahawa mahkamah akan berlaku adil dan tempat saya bercakap benar," katanya.


Pada 11 Mac lalu, Ismail Sabri selaku plaintif memperoleh perintah interim injunksi daripada mahkamah untuk memaksa Anina dengan serta-merta memadamkan kesemua kenyataan fitnah mengenainya di laman Facebooknya (Anina).

Sementara itu, Anina turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah memadam posting (penghantaran) yang disebutkan dalam tuntutan saman itu dan juga telah memfailkan penyataan pembelaannya hari ini.

Ditanya Hakim Mohd Firuz, sama ada defendan mahu ketepikan perintah injuksi atau tiada masalah injunksi berkenaan diteruskan, Anina menjawab: "Saya tiada masalah untuk (injunksi) diteruskan."

Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri pula berkata beliau mengambil maklum bahawa defendan telah memadam penghantaran yang dibuat di akaun media sosialnya selain tidak membantah sekiranya Anina memerlukan masa untuk melantik peguam.


Hakim Mohd Firuz juga menetapkan 21 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya menerusi aplikasi Zoom.

"Saya beri masa untuk (Anina) lantik peguam untuk dapatkan nasihat kerana perbicaraan lambat lagi kerana mahkamah ini paling awal boleh dengar kes ini pada 1 Oktober depan. Penyataan saksi perlu difailkan dua minggu sebelum perbicaraan… perintah injuksi dikekalkan," kata hakim itu.

Selepas proses mahkamah selesai, Anina membuat kenyataan bahawa beliau memilih untuk membela diri sendiri tanpa peguam.

"Apabila ditanya oleh Yang Arif samada saya akan melantik peguam, saya menjawab dengan jujur bahawa saya hanya suri rumah yang tidak mampu untuk mengupah peguam."

"Yang Arif bertanya lagi samada saya akan meminta bantuan kawan-kawan  untuk menjadi peguambela, saya jawab dengan jujur bahawa saya malu untuk meminta peguam membela saya dalam  keadaan saya begini yang tidak punya apa-apa." kata Anina.


Anina juga memberitahu bahawa mahkamah sangat flexible di dalam perintah injuksi kes ini dan tidak melarang atau menghalangnya untuk terus bersuara di mana-mana sahaja dalam mengkritik mana-mana Menteri. 

"Pihak mahkamah tidak berada di dalam kedudukan untuk menghalang saya sebagai contohnya menyebut “Menteri tidak buat kerja”, “Menteri tidak cerdik” atau apa sahaja selagi saya tidak mengeluarkan perkataan-perkataan tertentu yang dipertikaikan."

"Saya menghormati arahan dan nasihat Yang Arif Hakim berikan kerana memegang teguh prinsip keadilan dengan bijaksana dan menghormati prinsip hak kebebasan bersuara saya sebagai rakyat Malaysia."ujar Anina lagi.


Pada 5 Mac lalu Ismail Sabri memfailkan saman itu dan mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah terhadap plaintif dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya, antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran COVID-19 menerusi PKP.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa 13 kata-kata fitnah oleh Anina bermula 5 Februari hingga 3 Mac lalu menerusi Facebooknya yang turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif adalah 'boneka' yang semata-mata melaksanakan perintah perdana menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya. 

– BERNAMA/TunCarlos

SAYA BERDIRI UNTUK PERJUANGKAN KEBENARAN DAN KEADILAN DI MAHKAMAH YANG MULIA Oleh ANINA SAADUDIN Assalamualaikum...

Posted by Anina Saadudin on Thursday, 25 March 2021