Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kit ujian covid-19 keluaran anak Malaysia diperkenalkan, hanya guna air liur


PUTRAJAYA: Alif Masyhur Sdn Bhd (Alif Masyhur) dengan usaha sama Fjord Diagnostics Sdn Bhd (Alif-fjord) hari ini melancarkan kit ujian COVID-19 menggunakan sampel air liur (deep throat saliva) yang lebih murah.

Pengerusi Eksekutif Alif Masyhur, Datuk Mazlan Sabli, berkata kit ujian itu dihasilkan oleh rakyat Malaysia dikenali sebagai Kit Ujian Pengumpulan Sampel Air Liur, Fjord-Saliva yang mengandungi alat (sediprep) untuk meningkatkan konsentrasi kandungan virus dalam sampel air liur bagi mengesan virus COVID-19.

Katanya, kaedah persampelan air liur lebih mudah, selesa dan selamat kerana ia bersifat 'self collected' tidak memerlukan bantuan petugas barisan hadapan kesihatan serta kosnya juga lebih rendah iaitu berjumlah RM45.


Katanya, ia turut mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Medical Device Safety Services (MDDSS), Jerman.

"Kit ujian ini adalah kaedah persampelan yang selamat dan tidak invasif berbanding persampelan kaedah 'nasopharyngeal' dan 'oropharyngeal' iaitu melalui hidung dan mulut," katanya pada sidang media Pelancaran Produk Inovasi Peranti Perubatan COVID-19 Buatan Malaysia Yang Pertama di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembangunan Perniagaan Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Robin Chin.

Kit ujian saringan ini dicipta dan dihasilkan Robin Chin yang berpengalaman luas dalam bidang peralatan perubatan.


Selain Malaysia ia turut dipatenkan di tujuh negara lain terdiri Amerika Syarikat; United Kingdom,

Jepun, China, Korea, Hong Kong dan Jerman.

Mazlan berkata, sebelum dihasilkan, kit ujian ini dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada awal Disember 2020.

Menurut beliau, pengeluaran akan bermula esok dan dijangka dikeluarkan sebanyak dua juta unit sebulan.


Katanya, kaedah itu dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan ketika melaksanakan ujian saringan kerana penggunaan peralatan perlindungan (PPE) serta peralatan berkaitan serta bilangan petugas barisan hadapan dapat dikurangkan.

"Penggunaan kit ujian ini dijalankan di beberapa negara dan ia terbukti lebih murah dan paling konsisten," katanya.

-BERITA HARIAN